Rakyat Terus Terima Sumbangan Kerajaan Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN: Rakyat di Negeri Pahang sememangnya amat bertuah kerana mempunyai sebuah kerajaan yang tidak putus-putus membela nasib mereka dan menghulur pelbagai bantuan.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff merangkap Ahli Dewan Negeri Bebar sekali turun padang sempena ziarah kasih bagi menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Pahang kepada penduduk memerlukan di Merchong dan Kota Perdana di sini.

Sumbangan tersebut diberikan kepada lapan penduduk antaranya untuk rawatan penyakit kanser kulit, bantuan pemasangan jeriji tingkap dewan orang ramai, baik pulih kedai makan yang rosak dilanda ribut dan sumbangan kepada bekas-bekas Imam yang uzur dengan peruntukan berjumlah lebih RM30,000.

Menurut YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin beliau amat bersyukur dengan sumbangan yang telah diluluskan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail demi membela nasib penduduk yang sedang dalam kesusahan termasuk kepada bekas-bekas Imam yang uzur di bebar ini.

“Selaku Ahli Dewan Negeri Bebar, saya akan memberi perhatian sebaik mungkin nasib penduduk dan permohonan mereka.

“Saya berterima Kasih kepada YAB Menteri Besar yang amat prihatin dan segera meluluskan permohonan penduduk yang memerlukan ini. Sumbangan cek Ini membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa menjadi juara membela nasib rakyat,” katanya di sini.

Sementara itu, bekas Imam Kota Perdana, Ustaz Hasran@Horam Ahmad berkata, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin ketika menziarahinya beberapa bukan lalu telah meminta dia membuat surat permohonan bantuan tambahan bagi rawatan perubatannya.

“Alhamdulillah tidak lama selepas itu saya terima cek hari ini, saya difahamkan, YAB Menteri Besar yang meluluskan segera. Saya amat bersyukur dengan sumbangan ini, dapatlah saya menggunakan bagi urusan perubatan saya,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA