Kerjasama Dengan Kerajaan Pusat Pindah Sekolah Banjir Ke Lokasi Baharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH : Kerajaan Pahang bersetuju memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan bagi memindahkan sekolah yang sering menghadapi banjir ke lokasi yang lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, usaha ini perlu bagi memastikan bantuan jangka panjang dapat diberikan kepada 41 sekolah yang terlibat banjir di seluruh Pahang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad

“Kita bersedia untuk membantu Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan jika seandainya ada cadangan memindahkan (sekolah) ke tempat baru sebab kita ada tapak dan tanah yang kita kenalpasti selamat, tinggi dan tidak ampuh sekiranya banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas beliau meninjau keadaan sekolah yang ditimpa banjir di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Katanya lagi, Pemindahan sekolah ini perlu bagi memastikan permasalahan berkaitan banjir ini dapat diatasi dan tidak berulang pada masa hadapan.

Jelasnya, dalam membantu sekolah-sekolah yang menghadapi banjir ini, kerajaan perlu mempunyai perancangan jangka pendek dan jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad ketika meninjau keadaan sekolah yang ditimpa banjir di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Kerdau, Temerloh, hari ini.

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) telah mengenalpasti kerosakan-kerosakan dan kos kerugian yang ditanggung oleh sekolah-sekolah berkenaan dan akan dikemukakan kepada pihak kementerian untuk diambil tindakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 41 sekolah tidak dapat dibuka untuk pengoperasian bagi sesi persekolahan baru kerana terlibat banjir termasuklah mengalami kerosakan atau kerugian.

Malah katanya, terdapat beberapa sekolah yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat dibuka bagi sesi persekolahan baru.

Sumber: PAHANGMEDIA