PKOB Dalam Mod Siap Siaga, PPS Ditutup Sepenuhnya

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri dan daerah diletakkan dalam mod siap siaga meskipun kesemua 442 pusat pemindahan sementara (PPS) telah ditutup sepenuhnya.

YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak berkata, langkah itu diambil sekiranya keadaan memerlukan pengaktifan semula.

YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak

Beliau berkata, sehingga 12 Januari 2022, sejumlah 67,878 orang mangsa telah berpindah ke PPS sepanjang gelombang pertama dan kedua banjir atau Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

“Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga kepada 21 orang mangsa yang telah terkorban dalam tragedi tersebut,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pahang berkata, jawatankuasa ini ingin menyembahkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke sisi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang di atas keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku di saat rakyat negeri Pahang dilanda musibah banjir.

Menurut beliau lagi, jawatankuasa juga turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YAB. Perdana Menteri, YAB. Menteri Besar Pahang, YB. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta semua Kerajaan Negeri yang telah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penghantaran sukarelawan, barangan keperluan, bantuan wang ringgit dan lain-lain.

“Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada anggota-anggota keselamatan, semua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO), sukarelawan dan semua pihak yang telah banyak membantu Kerajaan Negeri Pahang dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022,” katanya.

Beliau juga berkata, Kerajaan Negeri juga ingin memohon maaf di atas sebarang kekurangan dan kesulitan yang mungkin timbul dalam menangani dan mengendalikan situasi Monsun Timur Laut (MTL) 2021/2022.

Sumber: PAHANGMEDIA