Penduduk Orang Asli Minta Kawalan Keselamatan Ditingkatkan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Gua Musang: Kira-kira 2,000 penduduk di Pos Bihai dan Pos Balar, di sini merayu supaya kawalan keselamatan di kawasan itu ditingkatkan berikutan ancaman harimau sejak beberapa hari lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim berkata, maklum balas itu diterima hasil beberapa siri perjumpaan diadakan bersama penduduk di Tendrik, Bihai Lama dan Peyel bagi mendengar keluhan, kerisauan dan permintaan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Mohd Syahbuddin Hashim 

“Sebelum ini, kami mengadakan kawalan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dengan memasang tiga perangkap, namun harimau yang berkeliaran tidak masuk ke dalam jerat itu.

“Disebabkan hal itu, selepas mesyuarat pada 4 Januari lepas, keputusan dibuat dengan kaedah tangkapan perlu ditukar,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata, buat sementara waktu beliau memohon sekiranya tiada keperluan, penduduk kampung tidak keluar dari rumah masing-masing terutama di kawasan harimau berkeliaran di Pos Bihai dan Pos Balar.

Beliau berkata, bagi tujuan keselamatan, Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar ditutup bagi mengelak pelajar bertembung dengan harimau dipercayai masih berkeliaran di kawasan itu.

Menurutnya, bagi membantu penduduk terkesan dengan situasi semasa, bantuan makanan dihulurkan sejak 16 Disember lalu apabila penduduk dipindahkan dari Kampung Remau ke Kampung Tendrik.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya percaya harimau belang yang kini berkeliaran di kawasan penempatan Orang Asli di Pos Bihai kemungkinan dijangkiti ‘Virus Canine Distemper’ (CDV).

Menurutnya, ia disebabkan hasil pemerhatian pasukannya yang menjejaki harimau belang berkenaan mendapati beberapa sampel najis mamalia itu positif virus berkenaan.

Sumber: My Metro