Vaksin Elak Anjing Dijangkiti CDV Bawaan Harimau Belang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Dianggarkan lebih 600 anjing di kawasan penanaman sayur di Lojing dan penempatan Orang Asli di Gua Musang terdedah dengan virus Canine Distemper (CDV).

Risiko jangkitan terhadap anjing peliharaan pekebun sayur dan penduduk selain hidupan liar itu berikutan virus dibawa harimau belang yang masih berkeliaran bebas di hutan berhampiran Pos Bihai.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penanam Bunga dan Sayur Bumiputera Tanah Tinggi Lojing, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pihaknya bimbang sekiranya ada anjing yang dijangkiti CDV memandangkan jarak kebun sayur dengan Pos Bihai hanya 20 kilometer (km) sahaja.

“Faktor jarak yang dekat ini akan mempercepatkan lagi virus itu merebak dan boleh menjangkiti anjing serta haiwan lain di kawasan Lojing dan Cameron Highlands di Pahang.

“Justeru, kami berharap pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya dengan memberi suntikan vaksin kepada semua anjing bagi memastikan haiwan peliharaan pekebun sayur sihat dan tidak menyebarkan virus kepada haiwan lain.

“Selain itu, kita mohon pihak berkenaan juga memberi suntikan vaksin kepada anjing peliharaan penduduk dan yang berkeliaran di kawasan kampung,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Yusof berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) bagi keperluan pemeriksaan kesihatan anjing di kawasan tanaman sayur di Lojing serta vaksin.

“Keperluan vaksin kepada anjing adalah hasil makluman dan kajian ilmiah daripada universiti tempatan di mana virus CDV adalah salah satu punca kepupusan harimau di dunia termasuk di negara ini.

“Pemberian vaksin ini adalah wajar untuk mengelakkan penyakit itu merebak dan kemungkinan besar akan menjangkiti manusia jika ia tidak ditangani dengan segera,” katanya.

Media semalam melaporkan, harimau belang yang berkeliaran dalam radius 10 kilometer di Pos Bihai, Gua Musang didapati positif virus CDV.

Pengarah Perhilitan Kelantan Mohamad Hafid Rohani berkata, ia berdasarkan ujian terhadap sampel najis binatang berkenaan yang diambil di sekitar lokasi terbabit.

Sumber: My Metro