Rantau Panjang: Ketika kanak-kanak seusianya riang bermain, namun situasi berbeza dilalui Putri Noor Zafrina Batrisya Muhammad Azwan, 8, apabila perlu dipantau kerana mengalami masalah kebocoran buah pinggang sejak tiga tahun lalu.
Malah, kehidupannya juga bergantung kepada ubat-ubatan apabila perlu mengambil sehingga 18 biji sehari bagi mengelak daripada jatuh sakit.
Ibunya, Nur Fadliza Zakaria, 31, berkata anak sulung daripada tiga beradik itu sangat kuat dan sedaya upaya melawan penyakitnya walaupun masih kecil.
“Putri disahkan mengalami kebocoran buah pinggang ketika berusia lima tahun oleh doktor kerana kerap demam serta mengalami bengkak di bahagian muka dan kaki.
“Kini, dia perlu menjalani rawatan secara berkala di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, Kota Bharu.
“Anak saya sering jatuh sakit selain mudah penat dan tidak seaktif anak-anak lain. Dia juga mudah demam serta kerap mengadu sakit di bahagian pinggang dan mengalami lenguh seluruh badan membuatkan ada masanya seperti hilang keyakinan diri,” katanya.
Nur Fadliza berkata demikian selepas menerima kunjungan wakil Thirdforce Rantau Panjang di bawah Yayasan Raja Shamri (YRS), Tuan Zaimah Raja Omar di rumahnya di Kampung Tasek Bakong, di sini, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Tuan Zaimah turut menyampaikan sumbangan kewangan dan barang keperluan asas kepada keluarga berkenaan.
Nur Fadliza yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, pil dan ubat cecair bagai makanan ruji buat Putri apabila perlu diambil dua hingga tiga kali sehari.
Menurutnya, anaknya itu kadang kala mengadu sudah muak makan ubat, namun tiada pilihan lain demi memastikannya tidak jatuh sakit.
“Masalah kesihatan dialami Putri menyebabkan saya kerap mengambil cuti kecemasan bagi menjaganya kerana sering jatuh sakit secara tiba-tiba.
“Saya adalah ibu tunggal yang tiada tempat untuk berteduh. Nasib baik ada bapa Zakaria Muhammad, 58, dan ibu, Siti Bedah Awang Besar, 54, yang sudi menumpangkan saya dan anak-anak.
“Sebagai seorang ibu, saya sangat berharap Putri kembali pulih dan melalui zaman kanak-kanak seperti rakannya yang lain. Dia anak yang sangat baik selain petah berkata-kata jika sihat,” katanya yang juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.
Katanya, jika boleh digantikan kesakitan anaknya, dia sanggup menanggungnya kerana tidak mahu melihat zaman kanak-kanak Putri ‘diragut’ akibat ujian yang dihadapinya.
Sumber: My Metro