Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-Kanak KEMAS Bakal Beroperasi Penghujung Tahun 2024

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan menaiktaraf Institut Latihan KEMAS Kuantan menjadi Akademi Kecemerlangan Pendidikan Awal Kanak-kanak menjelang penghujung tahun 2024 yang mencecah RM 49 juta kos keseluruhan.

Akademi ini akan dijadikan sebagai institusi yang bakal melahirkan Pendidik Masyarakat TABIKA dan TASKA KEMAS yang lebih berkualiti khususnya dalam bidang Pendidikan awal kanak-kanak.

Menurut Dato’ Ramlan bin Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Akademi ini akan memberi fokus kepada menaiktaraf kualiti pendidikan Pendidik Masyarakat TABIKA dan TASKA KEMAS selaras dengan hasrat Menteri Pembangunan Luar Bandar untuk memastikan Pendidik Masyarakat memiliki ijazah dalam bidang Pendidikan awal kanak-kanak.

Tambah beliau lagi, “Selain itu juga, akademik ini diharap mampu untuk membina modul pengajaran yang berkualiti selaras dengan peredaran semasa yang memerlukan kepakaran dalam aspek teknologi terkini dan penyediakan latihan bagi mengakreditasi guru-guru TABIKA dan TASKA KEMAS serta pengusaha tadika dan taska swasta”,

Menerusi akademi tersebut, sebanyak 5 pusat kecemerlangan yang akan diwujudkan iaitu Pusat Kecemerlangan Pendidik, Pusat Kecemerlangan Kanak-Kanak, Pusat Kecemerlangan Ibubapa, Pusat Kesihatan dan Pemakanan dan Pusat Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomesilan.

Beliau berkata demikian setelah menyampaikan sijil penghargaan kepada Skuad KEMAS Prihatin atau Sukarelawan KEMAS yang membantu misi bantuan banjir yang melanda negeri Pahang baru-baru ini.

Turut hadir Dato’ Mohamad Yasid Bidin Ketua Pengarah KEMAS Malaysia.

“Projek ini sudah bermula dan status terkini adalah untuk melantik perunding dan projek dijangka siap selewat-lewatnya pada tahun 2024”, katanya.