190 Orang Mangsa Banjir Tidak Berpindah Ke PPS Terima Bantuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

JERANTUT: Seramai 190 orang mangsa banjir yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir di daerah Jerantut menerima Bantuan Wang Ihsan, kelmarin.

Bantuan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang merangkap Ahli Dewan Negeri (AND) Pulau Tawar, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah di Dewan Majlis Daerah Jerantut.

Menurutnya, setiap penerima yang juga mangsa banjir Monsun Timur Laut 2022 Daerah Jerantut mendapat wang tunai sebanyak RM1,000 daripada Kerajaan Pusat dan RM500 dari Kerajaan Negeri Pahang.

“Kerajaan Negeri khususnya sentiasa prihatin dengan setiap lapisan rakyat, tidak kira lelaki atau perempuan, pelbagai peringkat usia dan bangsa. Kita berusaha agihkan semua bantuan dengan harapan tiada lagi yang terlepas pandang.

“Terima kasih Kerajaan Negeri terutamanya YAB Menteri Besar Pahang kerana tidak pernah meminggirkan setiap golongan yang memerlukan malah menjadi antara keutamaan dalam pengagihan.

“Apa yang diharapkan ialah kita semua menjadi golongan yang sentiasa bersyukur, berterima kasih dan tidak berputus asa dengan ujian yang dilalui dalam kehidupan,” katanya.

Turut hadir, Penolong Pegawai Daerah Jerantut, Puan Arfah Ahmad Robani; Penghulu Mukim; Encik Mohd Firdaus Hamid serta pegawai dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jerantut.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat dan menunjukkan kepimpinan yang ada hari ini telah berada di jalan yang betul dan dapat memastikan bahawa hasil daripada kerajaan negeri dapat disampaikan kepada rakyat.

“Peranan pemimpin di setiap peringkat tidak hanya terbatas sebagai pentadbir kawasan tetapi ia turut meliputi tanggungjawab menjaga kebajikan anggota masyarakat di kawasannya.

“Kesulitan serta kesusahan hidup yang dialami anggota masyarakat terus dititikberatkan dan cuba diselesaikan melalui usaha menyenaraikan mereka bagi mendapatkan bantuan dari agensi atau pihak berkaitan,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA