Seni Kraf Lekar Lidi Nipah Punyai Nilai Estetika Tersendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU- Barangan kraf tangan seperti lekar yang diperbuat daripada lidi nipah kini makin dilupai namun pengusaha kraf tangan lekar di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu masih lagi meneruskan tradisi nenek moyang mereka yang berusia lebih 100 tahun.

Salah seorang pengusaha, Fatimah Che Long, 66, walaupun sudah berusia, dia tidak pernah merasa penat atau bosan mengusahakan kraf tangan tradisi itu bagi memastikan ia tidak hilang ditelan arus kemodenan.

Beliau yang menjalankan anyaman berkenaan sejak 18 tahun lalu berkata, meskipun pendapatan tidak seberapa kerana jualan barangan itu banyak bergantung kepada tempahan tetapi ia mampu juga memberi pendapatan sampingan untuk keluarganya.

“Pada zaman dulu lekar dijadikan alas periuk panas tetapi  kini diubah suai dan divariasikan dalam pelbagai bentuk dan saiz mengikut peredaran zaman.

“Sekarang ada sesetengah lekar dibuat par untuk hantaran, tempat letak buah-buahan, bakul bawang dan ada juga yang dibentuk untuk hiasan, pasu bunga dan tempat letak mentol,” katanya.

Menurut Fatimah, asas utama menghasilkan bakul adalah menggunakan lidi nipah dan selebihnya bergantung kepada kreativiti masing-masing.

Tambahnya lagi, bekalan lidi nipah mudah diperoleh kerana kawasan terbabit dipenuhi rimbunan pokok nipah yang tumbuh liar sepanjang tebing sungai sambil berfungsi menghalang hakisan.

“Paling utama pembuatannya memerlukan tujuh rumpun daun nipah dan setiap rumpun itu terdiri daripada 25 hingga 30 batang lidi nipah yang sudah matang.lebih 100 batang lidi diperlukan untuk menghasilkan satu lekar bergantung kepada saiznya. 

 “Proses seterusnya ialah membuat tapak bakul dan diikuti menganyam lidi itu secara berselang seli. Masa yang diperlukan tidak lebih setengah jam tetapi jika barang dihasilkan kecil, masa lebih lama diperlukan,” ujarnya.

Fatimah yang hanya belajar membuat anyaman berdasarkan pemerhatian sendiri berkata dia  mampu menghasilkan lebih enam lekar sehari mengikut saiz lidi nipah.

“Kalau lidi yang lebih besar, mak cik hanya mengambil masa 10 hingga 20 minit untuk hasilkan sebuah lekar,tapi kalau lidi yang bersaiz kecil dan halus, kerjanya agak rumit dan hampir 45 minit diperlukan untuk menghasilkan sebuah lekar.

“Lekar ini dijual mengikut saiz antara RM8 hingga RM18 dan lekar yang dibuat daripada lidi nipah ini tahan lama hingga 10 tahun serta tak mudah rosak sebab lidinya yang kukuh,” katanya yang dapat menghasilkan lebih 200 lekar sebulan.

Selain membuat anyaman itu di rumahnya beliau juga sering diundang untuk mengadakan demotrasi di progam-program tertentu yang dianjurkan oleh jabatan kerajaan. 

“Memang mak cik risau, tak ada pengganti yang dapat sambung seni ini sebab sekarang orang muda tak minat nak buat lekar ni termasuk anak-anak sendiri…ada yang tak tahu pun lekar ni diperbuat daripada apa.

“Makcik harap sangat akan ada pihak yang dapat meningkatkan semula industri ini dan makcik bersedia menjadi tenaga pengajar sebab ramai juga orang yang makcik ajar termasuk dari luar negeri, dia orang datang sini dan lihat bagaimana cara kami buat lekar,” katanya.

Fatimah juga berkata, lekar yang dihasilkannya bukan sahaja pernah mendapat sambutan dari luar negeri, malah turut mendapat sambutan daripada pelancong dari pelbagai negara termasuk China.

Sumber: TRDI News