Pahang Lancar Kad Kesihatan Warga Emas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

ROMPIN: Kerajaan Pahang hari ini melancarkan kad kesihatan warga emas atau dikenali sebagai Pahang Pride Kasih yang memberi manfaat kepada 18,000 orang penerima di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kad kesihatan bernilai RM500 ini merupakan sebagai satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan kad kesihatan warga emas atau dikenali sebagai Pahang Pride Kasih kepada seorang penerima pada majlis Pelancaran Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.

“Semua penerima telah dikenalpasti melalui data Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di mana setiap penerima boleh pergi ke klinik yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan Negeri. Jadi maknanya mereka sekarang ada pilihan boleh pergi ke hospital dan klinik kerajaan atau ke klinik swasta.

“Peruntukan sebanyak RM10 juta disediakan bagi program melibatkan 9,000 orang bagi Fasa 1 dan 9,000 orang lagi bagi Fasa 2 pada bulan Mac nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah di sini, hari ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melancarkan Majlis Pelancaran Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah di Rompin hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, YB. Dato’ Sri Hajah Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, YB Dato’ Sri Haji Mohd Johari Haji Hussain serta barisan Exco Kerajaan Pahang.

Hadir sama, Yang Dipertua Dewan Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad; Ahli Parlimen Rompin, YB Dato’ Sri Hasan Arifin dan Pegawai Daerah Rompin, Tuan Ahmad Nasim Dato’ Haji Ahmad Sidek.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri tidak pernah berhenti memikirkan keperluan rakyat di negeri ini malah sentiasa mencari solusi terbaik untuk membantu setiap lapisan rakyat.

“Ini adalah tumpuan Kerajaan Negeri yang menjurus kepada semua pihak bermula dengan kelahiran untuk 25,000 orang bayi (Pahang Pride Kid) dengan peruntukan RM5 juta, kemudian kemudahan kad diskaun kepada pelajar (Pahang Pride Student) yang bernilai RM4.87 juta memberi manfaat kepada 48,711 orang pelajar dalam kategori keluarga miskin.

“Kita juga memperkenalkan Kafe Kome di mana belia-belia boleh memulakan perniagaan dan dibantu oleh Kerajaan Negeri Pahang selain juga kepada wanita mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma (mamogram).

“Bukan setakat itu sahaja, bagi mereka yang meninggal dunia akibat COVID-19 juga Kerajaan Negeri ada memberi sedikit bantuan bagi pengurusan jenazah. Maknanya kerajaan negeri cuba sedaya upaya untuk ringankan beban terutamanya kita masih dalam situasi COVID-19,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA