KUANTAN: Kerajaan Negeri menjangkakan 8 juta pelancong akan berkunjung ke Pahang sehingga akhir tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Shamsudin berkata anggaran jumlah ini melibatkan kedatangan pelancong domestik.
“Bagi pelancong domestik, dengan kekangan SOP (prosedur operasi standard) dan sebagainya kita anggarkan tujuh ke lapan juta (pelancong) dan kalau dapat 10 juta itu dah lebih dari cukup.
“Kalau pelancong dari luar negara, kita jangka tak dapat banyak disebabkan wabak COVID-19 yang melanda dan sekatan-sekatan bagi mengelakkan berlaku penularan,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran This is Pahang 2022 – Unlimited, malam tadi.
Pelancaran berkenaan telah disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak; Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Pahang, Puan Dayang Kartini Awang Bujang; dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Turut diadakan juga adalah Majlis Anugerah Pelancongan dan Kebudayaan Pahang yang disampaikan kepada para penggiat pelancongan, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemandu pelancong dan pengusaha restoran.
Menurut beliau lagi, walaupun sektor pelancongan di negeri ini telah dibuka namun masih ada kawasan terutamanya yang terjejas banjir masih ditutup untuk pelancong.
“Ada tempat-tempat yang kita sememangnya kita tutup lagi (bagi pelancongan) contohnya kawasan-kawasan yang terkesan banjir macam di Janda Baik, di Bentong, di Temerloh.
“Tetapi kawasan-kawasan yang lain, contohnya Taman Negara, Taman Negeri, Pulau Tioman, Cameron Highlands, Genting Highlands, Fraser Hills, kita masih buka macam biasa,” katanya.
Beliau turut meminta Kerajaan Persekutuan untuk mengawal keadaan bagi memastikan penularan wabak COVID-19 tidak merebak dan memberi kesan kepada sektor pelancongan.
“Berdasarkan statistik 2020, sebanyak tujuh juta pelancong datang ke Pahang walaupun berlaku penularan wabak COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketika itu masih boleh merentas daerah dan negeri,” katanya.
Sumber: PAHANGMEDIA