Kad Kesihatan Warga Emas: Bukti Kerajaan Pahang Prihatin Kebajikan Rakyat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN: Kerajaan Pahang telah melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas yang dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato Sri Haji Wan Rosdy Bin Wan Ismail di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, semalam.

Pelancaran kad ini yang juga dikenali ‘Pahang Pride Kasih’ telah membuktikan bahawa Kerajaan Pahang amat prihatin terhadap kebajikan warga emas bersasar di negeri ini di mana seramai 18,000 orang penerima akan menerima kad ini dengan nilai RM500 bagi mendapatkan rawatan prosedur am di klinik-klinik swasta terpilih di seluruh negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang kepada seorang penerima pada majlis pelancaran kad tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, semalam.

Ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Pahang telah merealisasikan strategi pertama Belanjawan 2022 yang telah dibentangkan pada 6 Disember tahun lalu di mana ia digariskan untuk memenuhi keperluan asas rakyat di segenap lapisan usia.

Bagi program pemberian Kad Kesihatan Warga Emas ini Kerajaan Pahang telah memperuntukan bajet berjumlah RM10 juta bagi tahun ini dan ia dapat membantu meningkatkan tahap kesihatan warga emas.

Pemberian kad ini juga akan dilaksanakan dalam dua fasa di mana fasa pertama melibatkan seramai 9,009 orang penerima dan telahpun dilancarkan semalam manakala fasa kedua melibatkan 8,991 orang lagi akan menerima kad ini pada 1 Mac 2022.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang kepada seorang penerima pada majlis pelancaran kad tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, semalam.

Selain itu pemberian kad kesihatan ini juga bertindak sebagai satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada di mana selama ini kerajaan telah menyediakan perkhidmatan perubatan secara hampir percuma di semua hospital dan klinik kerajaan kepada setiap golongan masyarakat terutamanya warga emas.

Untuk makluman pelancaran Pahang Pride Kasih ini merupakan salah satu inisiatif di bawah jenama Kebanggaan Pahang atau ‘Pahang Pride’ yang akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

Seorang warga emas menunjukkan kad Kesihatan Warga Emas Negeri Pahang pada pelancaran kad tersebut di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, semalam.

Pada 1 Januari lalu, Kerajaan Negeri telah melancarkan Insentif Anak Kebanggaan Pahang atau Pahang Pride Kid yang akan memberi manfaat kepada 25,000 bayi yang dilahirkan pada tahun ini. Insentif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri ini berupa wang simpanan untuk bayi serta kit kesihatan untuk bayi dan ibu berpantang bernilai RM200.

Selain itu juga, Kerajaan Negeri turut menyediakan Insentif Pemberian Kad Diskaun Pelajar Kebanggaan Pahang atau Pahang Pride Student berjumlah RM4.87 juta yang akan memberi manfaat kepada 48,711 pelajar dalam kategori miskin yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

YAB Menteri Besar Pahang ketika menyampaikan ucapan beliau semalam menyatakan bahawa kerajaan tidak pernah berhenti memikirkan keperluan rakyat di negeri ini dan beliau juga berharap agar seluruh rakyat dapat bersama berganding bahu bagi menjaga kestabilan Kerajaan Negeri hari ini agar Kerajaan Negeri terus dapat mengukuhkan ekonomi negeri serta meneruskan program-program insentif sebegini di masa-masa akan datang.

Sumber: PAHANGMEDIA