KUANTAN: Kerajaan Pahang akan menganjurkan satu produk pelancongan baharu berkaitan sukan air di negeri ini pada pertengahan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, acara sukan air ini dikenali sebagai Pahang Ocean Canoe International Challenge.
“Kita nak buat Pahang Ocean Canoe International Challenge ini supaya Pahang ada satu produk ikon yang bertaraf antarabangsa.
“Kita nak memanfaatkan apa yang kita ada di negeri ini, di Pahang ini kita ada hampir 240 kilometer jajaran pesisiran pantai dari Pantai Chendor (Cherating) sampai Pantai Hiburan (Rompin).
“Kita jangka acara kayak laut ini boleh bermula pada Julai atau Ogos tahun ini,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Beliau berkata, penganjuran sukan air berkenaan juga dijangka akan menarik ramai pelancong domestik dan luar negara.
“Sukan ini tak akan habis dalam sehari dua, ia akan berlangsung banyak hari macam sukan air perahu layar Terengganu Monsoon Challenge,” katanya.
YB. Dato’ Sri Mohd. Sharkar berkata, acara sukan air ini adalah salah satu aktiviti pelancongan yang telah dimasukkan di dalam kalendar pelancongan negeri ini selain Pahang Hiking Week.
“Bagi aktiviti Pahang Hiking Week, kita ingin mempromosikan sektor pelancongan dengan gaya hidup yang sihat di mana para pelancong boleh datang ke negeri ini untuk mendaki bukit di daerah-daerah di Pahang serta bermalam di inap desa atau hotel berhampiran,” katanya.
Penganjuran sukan air ini merupakan salah satu langkah Kerajaan Pahang yang mensasarkan kemasukan kira-kira lapan juta pelancong ke negeri ini pada tahun ini.
Sumber: PAHANGMEDIA