Keterangkuman Kewangan Tepat Bantu B40, M40 Berdaya Tahan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LAPORAN Kumpulan Bank Dunia 2017 bertajuk Financial Inclusion in Malaysia: Distilling Lessons for Other Countries menyatakan bahawa Malaysia mencatatkan pencapaian memberangsangkan dalam menjadikan sistem kewangannya terangkum.

Secara teori, keterangkuman kewangan dapat memastikan lebih ramai anggota masyarakat, terutama kumpulan berpendapatan rendah – seperti B40 dan M40 – terbabit dalam aktiviti kewangan. Antaranya, seperti mendapatkan pinjaman untuk perniagaan seperti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mereka atau membuat pelaburan dalam unit amanah.

Namun, terdapat cabaran utama boleh menjejaskan kelestarian usaha kerajaan dalam meningkatkan keterangkuman kewangan, iaitu tahap keberhutangan isi rumah yang tinggi.

Laporan Kumpulan Bank Dunia itu menyatakan, pada 2016 nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia ialah pada kadar 82 peratus.

Keberhutangan isi rumah sudah tentu membabitkan keseluruhan rakyat Malaysia, lantaran hutang terbabit biasanya bagi tujuan pembiayaan pembelian rumah, kereta, pembiayaan peribadi ataupun kad kredit.

Berikutan kesan buruk pandemik COVID-19 terhadap ekonomi, nisbah keberhutangan ini dijangka meningkat lagi, terutama kepada golongan berpendapatan rendah dalam kalangan B40 dan M40, sekali gus menjejaskan kemampuan mereka untuk membayar ansuran hutang isi rumah terbabit.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam Laporan Tahunan 2020 menunjukkan nisbah hutang isi rumah kepada KDNK meningkat mendadak kepada 93.3 peratus pada Disember 2020 berbanding 87.9 peratus pada Jun 2020. Ini tidak menghairankan kerana ramai isi rumah kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan susulan impak pandemik.

Seperti dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam Laporan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia pada Disember 2020, kadar pengangguran di Malaysia melonjak kepada 5.1 peratus pada suku kedua 2020 dengan kadar tertinggi 5.3 peratus dicatatkan pada Mei 2020.

BNM dalam Laporan Tahunan 2020 turut menyatakan hampir 40 peratus daripada jumlah hutang isi rumah pada akhir Disember 2020 dimiliki peminjam isi rumah dengan pendapatan bulanan di bawah RM5,000.

Laporan ‘Kajian Kestabilan Kewangan-Separuh Pertama 2021’ BNM turut menyatakan 30 peratus daripada peminjam isi rumah mengambil tawaran pelan bantuan pembayaran balik atau moratorium dari bank pada akhir Julai 2021, meningkat drastik berbanding 16 peratus pada akhir Jun 2021.

Justeru, isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM5,000 sudah tentu daripada kumpulan B40 (julat pendapatan sehingga RM4,850) dan daripada kalangan kumpulan terendah M40 (dengan julat pendapatan antara RM4,850 dan RM10,970).

Julat pendapatan B40 dan M40 ini berdasarkan Laporan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Di samping itu, pendapatan median isi rumah dilaporkan Jabatan Perangkaan Malaysia pada 2020 adalah RM5,209. Dalam erti kata lain, jika keseluruhan penduduk Malaysia ini dibahagikan kepada dua bahagian, separuh pertama penduduk secara asas memperoleh pendapatan setakat RM5,209.

Beberapa pemerhatian penting boleh disimpulkan daripada semua data dan maklumat di atas.

Pertama, walaupun tahap keterangkuman kewangan Malaysia hampir sempurna, ruang penyertaan aktif kumpulan B40 dan M40 dalam aktiviti kewangan (seperti membuat pelaburan untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka) menjadi terhad dengan tahap keberhutangan isi rumah tinggi serta pendapatan bulanan mereka yang rendah.

Kedua, memandangkan separuh daripada penduduk Malaysia memperoleh pendapatan maksimum sekitar RM5,000 (iaitu pendapatan median RM5,209) dan kumpulan berpendapatan bulanan RM5,000 ini pula memiliki hampir 40 peratus daripada keseluruhan saiz hutang isi rumah, sudah tentu kumpulan ini amat mudah terkesan dengan sebarang krisis ekonomi, lantas mengalami masalah kewangan serius seperti terjadi sekarang susulan pandemik.

Ketiga, laporan Kumpulan Bank Dunia mengenai kejayaan Malaysia meningkatkan tahap keterangkuman kewangan adalah pada tahap agregat. Lebih penting jika petunjuk keterangkuman kewangan ini dipetakan mengikut negeri di Malaysia.

Akses kepada perkhidmatan kewangan boleh terhalang bagi penduduk luar bandar disebabkan kos tinggi dihadapi bank untuk membuka cawangan di kawasan kampung dan terpencil. Sudah tentu akan ada negeri tertentu yang kadar keterangkuman kewangannya lebih rendah berbanding negeri lain.

Akhir sekali, tahap keterangkuman kewangan juga mesti dipetakan mengikut kumpulan pendapatan pada peringkat negeri. Berdasarkan Laporan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, sembilan daripada 16 negeri di Malaysia mempunyai pendapatan median antara RM3,010 hingga RM4,478, jauh lebih rendah daripada pendapatan median negara, iaitu RM5,209.

Sembilan negeri ini iaitu Kelantan, Perlis, Kedah, Perak, Sarawak, Pahang, Sabah, Terengganu dan Negeri Sembilan turut terkenal mempunyai kadar kemiskinan tinggi.

Justeru, kesenjangan berterusan antara sembilan negeri ‘miskin’ di atas dengan tujuh negeri lain yang lebih ‘kaya’ sudah tentu boleh merencatkan usaha kerajaan untuk mencapai kemakmuran bersama melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

Kesimpulannya, jika tahap keterangkuman kewangan dapat dibentangkan lebih terperinci mengikut negeri dan kumpulan pendapatan di negeri terbabit, ia akan memudahkan kerajaan merangka strategi terbaik dan jitu dalam membantu kumpulan B40 dan M40 menjadi lebih berdaya tahan mengharungi kesan pandemik yang diburukkan lagi dengan kadar keberhutangan isi rumah tinggi.

Dalam erti kata lain, peranan kewangan terangkum dalam meningkatkan kedudukan kewangan kumpulan B40 dan M40 boleh dikenal pasti dengan jelas apabila analisis tepat mengenai keterangkuman kewangan yang berasaskan negeri dan kumpulan pendapatan ini dilakukan.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis

Sumber: Berita Harian