Usah Remehkan Hutang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kehidupan dunia sememangnya penuh dengan cabaran termasuk melibatkan harta. Apabila berbicara mengenai harta, jarang ada orang yang tidak berhutang.

Terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu terpaksa berhutang. Antaranya adalah disebabkan kemiskinan, tidak mempunyai wang, terlupa membawa wang dan sebagainya.

Islam mengharuskan hutang sebagai satu cara untuk mengeluarkan manusia daripada kesusahan. Namun keharusan ini perlu difahami secara jelas supaya masyarakat Islam tidak salah faham. Berhutang juga boleh menjadi hukum haram sekiranya ia dilakukan untuk tujuan maksiat, membeli dadah, berjudi dan sebagainya.

Konsep hutang yang diharuskan Islam ini menunjukkan betapa akrabnya hubungan persaudaraan sesama umat Islam melalui bantu membantu sesama saudara Islam yang memerlukan.

Mereka yang berhutang atas sebab-sebab tertentu yang dibenarkan syarak perlulah amanah untuk melunaskan hutang tersebut. Mereka perlu segera melunaskan hutang tersebut di samping memanfaatkan wang hutang itu pada perkara yang menjadi keutamaan bukan sebaliknya.

Setiap umat Islam yang berhutang perlu melunaskan hutang dengan kadar segera. Elakkan budaya menangguh bayaran hutang kerana ia boleh menimbulkan masalah kepada pemiutang. Mungkin pemiutang telah mempunyai perancangan sendiri setelah mendapatkan semula wangnya seperti yang telah dijanjikan.

Perbuatan sentiasa menangguh dari membayar hutang akan merosakkan keharmonian hidup sesama insan. Ia boleh menyebabkan berlakunya pertengkaran, permusuhan malah pembunuhan jika hutang gagal diuruskan dengan cara yang baik.

Masalah yang timbul daripada amalan berhutang sebenarnya adalah berpunca daripada sikap individu itu sendiri. Oleh itu, sebelum berhutang, setiap individu perlu muhasabah diri dan berfikir panjang terlebih dahulu. Ia tidak menjadi halangan dalam agama sekiranya hutang itu dapat diuruskan dengan baik.

Rasulullah SAW menjelaskan bahaya berhutang sekiranya orang yang berhutang itu gagal menguruskan hutangnya dengan baik. Amalan berhutang boleh menjadikan seseorang sebagai orang munafik kerana sifat-sifat seperti dusta dan mungkir janji.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Sesungguhnya seseorang yang (biasa) berhutang, jika dia berbicara maka dia berdusta, jika dia berjanji maka dia mengingkarinya.” (Muttafaq ‘alaih)

Penangguhan bayaran hutang dengan sengaja adalah satu bentuk kezaliman. Ini sebagaimana dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Penundaan pelunasan hutang oleh orang yang mampu adalah sebuah kezaliman.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Malah orang yang tidak bersungguh-sungguh melunaskan hutang yang dipinjamnya akan dibangkitkan di Akhirat nanti sebagai seorang pencuri. Rasulullah SAW bersabda mafhumnya:

“Sesiapa sahaja yang berhutang dan dia tidak bersungguh-sungguh untuk melunaskan hutangnya, maka dia akan bertemu Allah sebagai seorang pencuri.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Penjelasan tentang balasan buruk bagi orang yang berhutang yang culas melunaskan tanggungjawabnya perlu dijadikan peringatan penting dalam diri. Meskipun Islam mengharuskannya, tetapi dalam masa yang sama berhutang merupakan perkara yang tidak boleh diremehkan dan perlu membuat pembayaran dengan kadar segera.

Sumber: HARIAN METRO