Syeikh Hammad Al-Ansari, Tokoh Ulung Dalam Ilmu Hadis

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Apabila kita mempelajari mengenai ilmu hadis, pasti kita melihat ramai nama tokoh besar dan ilmuwan dalam bidang ini. Perkongsian hari ini akan membawakan seorang tokoh hebat dalam bidang hadis untuk dikenali.

Beliau adalah Syeikh Hammad Al-Ansari atau nama sebenar beliau adalah Hammad bin Muhammad Al-Ansari Al-Khazraji Al-Sa’di.

Beliau dilahirkan pada tahun 1343 hijrah di Taad Makkah, Mali dan Afrika Timur.

Beliau sangat gigih menuntut ilmu. Beliau sanggup berhijrah dari negerinya ke Mekah semata-mata mencari ilmu dengan guru yang hebat.

Antara guru beliau adalah Syeikh Muhammad ‘Abdur-Razzaaq Hamzah yang mengajarkan Tafsir Ibnu Katsir, Syeikh Abu Muhammad ‘Abdul Haqq al-Amree al-Haashimee al-Hindee yang mengajarkan Sahih Imam Bukhari serta Syeikh Hasan Al-Mashaat yang mengajarkan Sunan At-Tirmizi.

Sebelum beliau menuntut ilmu dari tokoh-tokoh hebat, beliau telah pun menuntut ilmu dengan bapa saudaranya sendiri yang sememangnya luas bidang pengetahuannya. Bapa saudaranya ialah Syeikh Al-Muqri, Muhammad ibnu Ahmad telah mengajarkan bidang ilmu Al-Quran dan hadis kepadanya.

Beliau berjaya menghafal Al-Quran dan hadis. Ketika beliau berusia 15 tahun, beliau telah menguasai bidang ilmu nahu dan sorof (cabang ilmu bahasa Arab).

Sifat Cinta Syeikh Hammad Al-Ansari Kepada Ilmu

Oleh kerana beliau amat mencintai ilmu, beliau telah berpindah ke Madinah untuk menguasai bidang hadis. Sebelum ini, beliau telah mencari ilmu di kota Mekah. Masa beliau banyak dihabiskan dengan mengulangkaji dan menghafal hadis.

Beliau juga menjadi tempat rujukan kebanyakan ulama dan para penuntut ilmu yang lain.

Syeikh Hammad Al-Ansari banyak menghabiskan masa beliau di perpustakaan. Ini kerana baginya ia adalah salah satu lubuk ilmu yang perlu diterokai.

Beliau telah berjaya membukukan beberapa buah kitab berkaitan hadis. Terdapat lebih daripada tiga ribu jilid buku yang majoritinya adalah dalam bidang hadis yang telah berjaya dirangkuminya.

Antara karya beliau yang sering menjadi rujukan sehingga kini ialah Abu al-Hasan al-Asy’ari wa Aqidatuhu (akidah) dan al-Ajwibah al-Wafiyah’an Asilah al-Alfiyah (menghimpunkan fatwa mengenai fikh).

Beliau telah meninggal dunia pada 21 Jamadil Akhir 1418 hijrah dan telah disolatkan di Masjid Nabawi Al-Syarif oleh Syeikh Abdul Bari.

Antara wasiat beliau yang sering diingati sehingga kini adalah; “aku bukanlah seorang mufti etapi aku hanyalah seorang hamba kepada penuntut ilmu.”

Sumber:

1. TZKRH.COM

2. Kajian Peringkat Pemikiran Imam Al-Ash’ari dalam Akidah