Sektor Penternakan Negara Rekod Pengeluaran Lebih RM20 bilion Tahun Lepas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NILAI – Sektor penternakan negara melibatkan semua komoditi termasuk unggas dan haiwan ruminan merekodkan keseluruhan pengeluaran berjumlah lebih RM20 bilion pada tahun lepas, kata Ketua Pengarah Veterinar Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Beliau berkata jumlah itu menunjukkan industri berkenaan berpotensi berkembang lebih maju pada masa hadapan bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah pengeksportan sekali gus mampu meningkatkan pendapatan negara.

“Sektor berkenaan (penternakan) merekodkan pengeluaran kedua tertinggi selepas tanaman. Kalau kita lihat sumbangan pengeluaran ayam sahaja dianggarkan sebanyak RM10 bilion setiap tahun kepada hasil negara,” katanya yang ditemui pemberita pada majlis perasmian kilang piawaian amalan perkilangan baik Rhone Ma Holdings Berhad di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Norlizan berkata sekiranya negara ingin mengembangkan lagi industri ternakan itu, sokongan dalam pengeluaran termasuk produk farmaseutikal veterinar dan makanan hasilan ternakan perlu ditingkatkan.

Beliau berkata nilai import farmaseutikal veterinar pada 2019 merekodkan sebanyak RM146 juta namun mengalami sedikit pengurangan sejak dua tahun lepas kerana kekangan dalam melaksanakan aktiviti mengikut norma baharu susulan COVID-19.

Dr Norlizan berkata usaha dilakukan Rhone Ma Holdings Berhad dalam menghasilkan produk makanan ternakan haiwan adalah seiring dengan hasrat dan galakan kerajaan untuk mengembangkan lagi sektor itu ke peringkat lebih tinggi seterusnya menjamin sekuriti makanan negara.

“Pembangunan industri penternakan negara tidak akan bergerak maju tanpa ada sokongan pemain industri yang terlibat secara langsung dalam memacu industri veterinar negara bersesuaian dengan polisi kerajaan menjadikan sekuriti makanan sebagai keutamaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar masih memantau perkembangan kes penularan Demam Babi Afrika (ASF) di ladang di Paya Mengkuang, Masjid Tanah, Melaka yang menyebabkan 20 daripada 35 ladang babi di kawasan itu disahkan dijangkiti virus berkenaan.

“Alhamdulilah, virus itu tidak merebak ke tempat lain, kita juga telah mengetatkan syarat pemindahan babi dari mana-mana negeri,” katanya menambah setakat Ahad lepas sebanyak 16,000 daripada 42,000 ekor babi daripada ladang yang terjangkit telah dimusnahkan.

Oleh itu, beliau menasihatkan setiap penternak supaya melipatgandakan kawalan biosekuriti di ladang masing-masing bagi mencegah penularan ASF.

Sumber: BERNAMA