Kenali Imam Bukhari, Tokoh Yang Membukukan Sahih Al-Bukhari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Nama Imam Bukhari sememangnya tidak asing lagi dan sering didengari terutamanya ketika mempelajari tentang ilmu hadis. Ini kerana beliau merupakan salah seorang tokoh yang banyak meriwayatkan hadis sahih.

Imam Bukhari atau nama sebenar beliau adalah Abu Abdullah Muhammad Ibn Imail Ibn al-Mughirah Ibn Bardizbah.

Beliau digelar al-Bukhari disebabkan gelaran kepada tempat kelahirannya, iaitu Bukhara yang merupakan sebuah kota di Uzbekistan.

Menurut catatan, beliau dilahirkan pada 13 Syawal 194 Hijrah di Bukhara. Bapa beliau telah meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi.

Beliau telah mula menghafal hadis sejak berumur kurang daripada 10 tahun. Beliau telah berjaya menghafal beberapa buah kitab tulisan ulama seperti Ibnu Mubarak pada umur 16 tahun.

Kemudian, demi mendapatkan ilmu yang sahih dan keberkatan daripadanya, beliau sanggup berhijrah ke Makkah. Beliau juga telah beberapa kali merantau ke Madinah, Baghdad dan Syam untuk mencari ilmu.

Beliau telah berjaya menulis beberapa kitab mengenai perawi hadis yang sahih, daif dan sebagainya.

Beliau telah mengumpul sebanyak 600,000 buah hadis dan berguru dengan lebih daripada 1000 orang syeikh.

Antara guru beliau adalah Ali bin al-Madini, Ahmad bin Hanbal, Yahya bin Ma’in dan Ishah bin Rahawaih.

Manakala, antara karya popular yang berjaya ditulis olehnya adalah al-Jami’ al Sahih al-Musnad al-Mukhtasar min Umur Rasulillah SAW wa Sunaniha wa Ayyamihi atau lebih dikenali sebagai Sahih Al-Bukhari.

Karya itu diberi nama sedemikian oleh beliau sendiri disebabkan kita itu terinspirasi daripada hasrat gurunya, iaitu Ishak bin Rahawaih yang ingin menghimpunkan hadis-hadis sahih dalam sebuah buku.

Kesimpulannya, minat beliau dalam bidang Hadis telah mendorong beliau sehingga mampu mempelajarinya dengan baik dan mengembangkannya dalam bentuk penulisan.

Buktinya, umat Islam hari ini masih menggunakan kitab Sahih Al-bukhari sebagai rujukan untuk mendalami bidang hadis yang sahih.

Beliau meninggal dunia pada hari Jumaat bertarikh 1 Syawal 256 Hijrah ketika berumur 62 tahun.

Sumber: TZKRH.COM & Kajian Biografi Imam Al-Bukhari