Peristiwa Allah Mengabulkan Harapan Baginda SAW

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pernahkah anda mendengar sebuah peristiwa pada zaman Rasulullah SAW, iaitu ketika peristiwa pertukaran arah kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah?

Pada mulanya, kiblat umat Islam mengarah ke arah Jerusalem sebelum akhirnya Allah menurunkan wahyu dan perintah supaya  ia ditukar ke arah Masjidil Haram.

Ia terjadi sewaktu Baginda berada di Madinah dalam masa beberapa bulan selepas hijrah (ada riwayat yang mengatakan selama 16 bulan dan ada juga mengatakan 17 bulan).

Semasa kiblat menghadap ke arah Baitul Maqdis, Baginda dan umat Islam sering dimaki dan dihina. Ini disebabkan umat Islam dikatakan menggunakan kiblat dan arah yang sama dengan orang Yahudi.

Orang Yahudi telah mengambil kesempatan menabur fitnah dengan memperlekehkan dakwah Rasulullah. Bagi mereka, agama Yahudi juga adalah agama yang benar dan diredai kerana umat Islam telah meniru arah ibadat mereka.

Peristiwa menyebabkan Baginda berasa sedih dan sentiasa mengharap agar Allah menunjukkan wahyu dan arah yang benar untuk umat Islam.

Setiap hari Baginda akan memandang ke langit kerana yakin bahawa Allah ada bersamanya untuk sama-sama mengharungi tohmahan itu.

Terdapat riwayat menyebut bahawa Baginda mengambil ruang itu untuk menyendiri sambil berharap di dalam hati agar Allah mendengar harapannya.

Oleh kerana itu, wahyu telah diturunkan untuk menukar kiblat untuk menukar kiblat umat Islam ke Kaabah. Ia dikatakan telah berlaku pada tahun 624 Masihi pada 15 Syaaban.

Mafhum: “Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.

“Dan sesungguhnya orang-orang (yahudi dan nasrani) yang telah diberikan kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.” (Surah Al-Baqarah, 2:144)

Beberapa orang dari kalangan jumhur ulama menyebut bahawa peristiwa ini membuktikan bahawa doa itu tidak semestinya dengan menadah tangan dan menyebut satu persatu apa yang diingini.

Namun, ia lebih kepada kita meyakini bahawa Allah ada bersama kita dan Dia Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati kita.

Walaupun kita tidak menadah tangan untuk berdoa, tetapi meletakkan sepenuh pengharapan pada Allah, maka suatu hari nanti pasti ia akan dimakbulkan.

Ia adalah peristiwa pertama di mana Baginda SAW tidak menadah tangan untuk berdoa tetapi meletakkan sepenuh pengharapan di dalam hati.

Wallahu a’alam.

Sumber: TZKRH.COM & KAJIAN HANNAN ATTAKI – SANTAI ALLAH ADA