Penerbangan Terus Kota Kinabalu – Kuala Terengganu Bakal Rancakkan Industri Pelancongan – Exco

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Industri pelancongan Terengganu dan Sabah dijangka bakal berlaku peningkatan dengan pakej penerbangan sulung secara terus dari Kuala Terengganu ke Kota Kinabalu yang mula diperkenal hari ini melalui kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu dan penerbangan tambang murah, Air Asia.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, melalui perjalanan terus baharu ini mampu membantu Kerajaan Negeri Terengganu bagi mencapai sasaran 3 juta pelancong pada tahun ini .

Menurutnya, jadual penerbangan akan bermula pada setiap hari Ahad iaitu sekali dalam seminggu.

“Kerajaan negeri turut telah mengadakan perbincangan kerjasama dengan Air Asia sebelum pandemik lagi bersama Ketua Eksekutif Air Asia, Tony Fernandes bagi menambah perjalanan penerbangan ke Kuching, Penang dan mengembalikan penerbangan ke Senai, Johor”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merai penerbangan sulung AK 5310 yang berlepas dari Kota Kinabalu pada 3:15 petang dan tiba di Kuala Terengganu pada 5:20 petang dengan muatan 59 orang.

Buat masa ini, Air Asia menawarkan promosi tambang sehala untuk tempahan bermula serendah RM 128 sahaja dari sekarang hingga 14 Februari 2022, untuk tempoh perjalaanan dari 13 Februari hingga 30 September 2022.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM