Serlahkan Keindahan Islam

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiap orang yang beriman wajib mempercayai bahawa agama Islam adalah satu-satunya agama yang paling sempurna yang membawa rahmat dalam kehidupan.

Justeru itu, manusia perlu bersyukur dengan nikmat Islam dan iman dengan cara mengamalkan dan menyebarkan ajarannya kepada seluruh umat manusia.

Manusia hakikatnya diciptakan dengan fitrah semulajadi yang suci dan murni iaitu mentauhidkan Allah SWT.

Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), kedua ibu bapanyalah yang mencorakkannya menjadi Yahudi atau Nasrani atau Majusi.” (Riwayat al-Bukhari)

Meskipun mereka menerima bukti dan keterangan yang disampaikan oleh nabi dan rasul, namun masih terdapat sebahagian manusia yang mengingkari kebenaran dan ajaran Islam.

Golongan yang enggan menerima seruan Islam dan kekal dalam kekufuran akan menanggung azab akibat perbuatan terbabit kerana hanya Islam agama yang dapat menyelamatkan manusia dari kesesatan serta sama sekali tidak sama kedudukannya dengan agama dan kepercayaan yang lain.

Namun begitu, orang beriman dan kafir sudah berinteraksi dan bermuamalah sejak dahulu lagi sama ada dalam keluarga, masyarakat dan negara.

Allah SWT tidak melarang umat Islam menjalinkan hubungan baik dengan golongan bukan Islam dengan syarat mereka tidak mengancam Islam serta umatnya.

Rasulullah SAW juga mengambil berat terhadap mereka yang menyakiti golongan kafir zimmi.

Agama Islam menggariskan kaedah dan pendekatan terbaik berkaitan amalan bertoleransi dalam suasana berbilang agama dan kepercayaan.

Perbuatan menghina, ugutan serta menyebarkan kebencian kepada penganut agama lain adalah tindakan yang dicela oleh al-Quran. Ini disebabkan ia boleh mengundang permusuhan yang tidak mendatangkan keuntungan.

Menghormati dan mengakui kewujudan penganut agama lain bukan menjadi lesen untuk mengiktiraf kebenaran agama lain selain agama Islam.

Sebaliknya tugas utama kita sebagai umat Islam adalah untuk menzahirkan keindahan ajaran Islam melalui akhlak yang terpuji dalam muamalah seharian supaya mereka terpaut hati untuk kembali kepada agama fitrah ini.

Di Malaysia, kedudukan Islam sebagai satu agama yang tertinggi dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Namun, ianya tidak menjadi penghalang dalam menjalinkan hubungan baik sesama insan walaupun berbeza bangsa, budaya dan agama atas prinsip kemanusiaan.

Perbezaan dan kepelbagaian terbabit diharmonikan berlandaskan nilai-nilai dan semangat yang terkandung dalam Rukun Negara dan gagasan Keluarga Malaysia yang mempereratkan kesatuan antara warga negara.

Sumber: HARIAN METRO