24 Kawasan di Kuala Terengganu Alami Gangguan Kualiti Air

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Gangguan kualiti air di 24 kawasan di daerah ini hingga menyebabkan air menjadi payau, berpunca daripada penerobosan air masin pada muka sauk Pulau Musang.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) menerusi kenyataan memaklumkan gangguan kualiti air yang berlaku sejak malam Isnin lepas (31 Jan) itu, melibatkan tangki Bukit Kecil dan tangki Bukit Losong di sini.

“Sehubungan itu, SATU telah menerima bantuan daripada Stesen Janakuasa Elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) Tasik Kenyir bagi melepaskan air dari Empangan Kenyir untuk menyeimbangkan paras kepekatan garam dalam air mentah di muka sauk.

“Pihak TNB sedia maklum mengenai situasi ini dan air dilepaskan lapan jam sebelum waktu air pasang tinggi berlaku. Bacaan tahap kemasinan air yang dibekalkan juga dipantau dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Antara kawasan yang terjejas ialah Losong, Kubang Buyung, Durian Burung, Bukit Kecil, Gong Kapas, Panji Alam, Chabang Tiga, Pulau Kambing, Pasir Panjang, Hiliran, Kampung Gong Pak Maseh, Jalan Budiman, Kampung Seberang Baroh, Kubang Parit, Paloh, Pulau Rusa dan Kuala Bekah melibatkan 6,750 akaun pengguna.

SATU akan memaklumkan perkembangan situasi tersebut menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau hubungi careline di talian 1300-88-2111 jika pengguna mempunyai sebarang pertanyaan dan aduan.

Sumber : BERNAMA