RM470,300 Pulih Masjid, Surau Terkesan Banjir di Temerloh dan Bera

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TEMERLOH – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM470,300 bagi memulihkan masjid dan surau di sekitar daerah Temerloh dan Bera yang terjejas akibat bencana banjir, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, ucapan penghargaan harus ditujukan kepada YAB Menteri Besar Pahang yang begitu prihatin dengan keadaan masjid-masjid terlibat.

“Sumbangan ini melibatkan sebanyak 12 buah masjid dan 20 surau di Temerloh serta tiga buah masjid dan tujuh buah surau di Bera yang terlibat banjir.

“Agihan ini dibuat mengikut kategori kerosakan yang telah dilapor dan dikenal pasti oleh pihak Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) dan pihak pengurusan masjid,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Penyerahan mock cek dan surat bayaran peruntukan telah dilakukan di Masjid Taman Sri Semantan kepada setiap pengerusi masjid dan surau terlibat.

Turut hadir, Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Semantan, YB Dato’ Haji Nor Azmi Mat Ludin; Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) YH Dato’ Haji Zakaria Mohamed; Kadi Daerah Temerloh, Ustaz Abdul Aziz Abdul Karim serta Ketua Penerangan UMNO Bahagian Temerloh, Dato’ Ridzuan Hazimin Ramli.

Sementara itu beliau berkata, jumlah bantuan yang diberikan adalah berbeza mengikut tahap kerosakan dan kerugian yang dialami setiap masjid dan surau.

“Walaupun ia tidak memenuhi kos sebenar kerosakan namun setidak-tidaknya ia dapat meringankan beban yang ditangung pihak masjid dan surau.

“Kita semua tahu, banjir yang melanda akhir tahun lalu menyebabkan banyak kerosakan sekaligus merencatkan aktiviti keagamaan di setiap masjid dan surau yang terlibat. Jadi, besar harapan agar sumbangan ini dapat memulihkan kembali setiap aktiviti di masjid dan surau terlibat,” katanya.

Tambahnya, pengagihan bantuan yang dilakukan mengikut zon ini akan dilakukan kepada pengurusan masjid dan surau di daerah Raub, Lipis dan Bentong seterusnya ke daerah-daerah lain yang terjejas sama.

Sumber: PAHANG MEDIA