Ketengah Bantu 118 Usahawan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyampaikan bantuan berjumlah RM519,500 kepada 118 usahawan pelbagai sektor di dalam wilayah Ketengah bagi membantu mereka meningkatkan perniagaan masing-masing.

Pengurus Besar Ketengah, Tengku Ahmad Nadzri Tengku Musa berkata, bantuan tersebut melibatkan empat kategori iaitu program pembangunan usahawan, usahawan mobile luar bandar, sokongan pengukuhan usahawan luar bandar dan insentif usahawan terjejas Covid-19.

Menurutnya, seramai 81 usahawan pelbagai bidang yang terjejas akibat penularan wabak Covid-19 menerima bantuan tersebut bagi meringankan beban ditanggung dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM165,000.

“Sebanyak RM44,100 bantuan pula diberikan kepada lima usahawan terlibat dalam bidang pertanian, penternakan dan pengusaha industri kecil sederhana (IKS) untuk memperkasa produk dan pensijilan barang masing-masing.

“Kita juga memberi peluang kepada masyarakat luar bandar dari B40 yang menunjukkan minat dan kesungguhan untuk menjadikan keusahawanan sebagai sumber pendapatan mereka sekaligus meningkatkan ekonomi keluarga.

“Untuk itu, 10 individu terdiri daripada usahawan elektronik, fotografi dan videografi, salon kecantikan, pembuatan makanan, pembaikan gajet, komputer serta alat muzik diberikan bantuan dengan peruntukan sebanyak RM130,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Bantuan Usahawan Wilayah Ketengah di Pusat Komuniti Desa, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini pada Isnin.

Sementara itu, Tengku Ahmad Nadzri berkata, Ketengah telah menyumbangkan bantuan berjumlah RM9 juta sehingga tahun lepas untuk Program Pembangunan Keusahawanan Desa menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).