Sahabat Yang Baik Antara 4 Ciri Dapat Bantu Istiqamah Dalam Melaksanakan Ibadat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Ramai dalam kalangan kita yang ingin berubah daripada melakukan perkara yang tidak baik kepada perkara yang baik. Namun ia bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

Perkataan istiqamah menurut Kamus Dewan ialah menjalankan sesuatu suruhan secara terus-menerus. Imam Nawawi mengatakan makna istiqamah ialah ‘sentiasa mengikut ketaatan kepada Allah.

Ini berdasarkan firman Allah di dalam Surah Hud ayat 112: Maka beristiqamahlah sebagaimana kamu telah diperintahkan.

Seseorang yang ingin berubah perlulah berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan meninggalkan segala perkara yang boleh menyebabkan dirinya kembali kepada asal.

Istiqamah bukan hanya meninggalkan maksiat tetapi ia juga dalam melakukan amalan baik seperti solat sunat, berzikir, solat berjemaah dan membaca al-Quran.

Beberapa faktor yang harus difahami untuk istiqamah dalam sesuatu perkara. Antaranya ialah:

1. Perlu niat kerana Allah

Seseorang yang ingin melakukan sesuatu perkara semestinya perlu berniat ikhlas kerana Allah. Ini kerana hanya amalan yang ikhlas kerana Allah akan diterima dan dipermudahkan.

Seseorang individu itu sukar istiqamah dalam melakukan penghijrahan ke arah kebaikan jika tanpa niat dan ikhlas kerana Allah.

 2. Berubah mengikut kemampuan

Ramai yang beranggapan bahawa jika seseorang itu ingin berubah maka ia perlu melakukannya secara drastik.

Sebenarnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang sedikit tetapi berterusan.

Sabda baginda Rasulullah SAW: Aisyah bertanya kepada nabi: Amalan apakah yang paling dicintai Allah?” Dia menjawab, “Yang dikerjakan terus menerus walaupun sedikit, lalu beliau bersabda: “Beramallah sesuai dengan kemampuan kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari, 5984)

3. Memilih Sahabat Yang Baik

Hubungan persahabatan adalah hubungan yang sangat mulia kerana kawan atau sahabat berperanan dalam membentuk personaliti seseorang. Rasulullah SAW mengingatkan kepada kita dengan sabdanya:

” Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan baju anda berlubang, atau mendapat bau yang busuk. (Hadis RIwayat Bukhari, 5108)

4. Berdoa

Doa merupakan senjata bagi orang mukmin. Berdoalah kepada Allah kerana dengan izin dan bantuan Allah kita dapat berubah daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain.

Istiqamah bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan oleh sesiapa pun bahkan tidak mampu untuk terus istiqamah dalam kehidupan seharian. Ia memerlukan keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang teguh.

Apabila kita diberikan kekuatan melakukan sesuatu kebaikan dan ketakwaan akan memberikan kita dorongan dan motivasi untuk melaksanakannya secara konsisten.

Walaupun amalan tersebut nampak kecil namun kebaikan yang dilaksanakan secara istiqamah itu akan memberikan impak tabiat yang baik kepada pelakunya secara berterusan.

Sumber: MSTAR