Shafi Azswad Lengkapkan Senarai Skuad B-23 Maloney di Kemboja

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Shafi Azswad Sapari dipanggil bagi memperkukuhkan skuad bawah-23 tahun (B-23) kebangsaan kendalian Brad Maloney yang menyertai Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-23 2022 di Phnom Penh, Kemboja bermula dari 14 hingga 26 Februari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini, pemain berusia 21 tahun itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh pada hari ini.

“Shafi Azswad akan mula menyertai latihan bersama pasukan selepas memperoleh keputusan ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) setibanya di sana,” menurut kenyataan berkenaan.

Shafi Azswad akan menggantikan Fahmi Daniel Zaaim yang disahkan positif COVID-19 ketika menjalani ujian PCR selepas tiba di sana Jumaat lalu.

Pada Rabu lalu pemain dari Terengganu FC, Muhammad Safwan Mazlan terlepas peluang untuk mewakili negara selepas disahkan positif COVID-19.

Skuad kendalian Maloney akan memulakan saingan Kumpulan B menentang Myanmar pada Selasa ini dan Laos pada Jumaat di Stadium Prince, Phnom Penh.

Sumber: BERITA HARIAN