Banci: Nisbah Jantina Penduduk Malaysia 110 Lelaki Kepada 100 Wanita

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Nisbah jantina terkini penduduk Malaysia adalah 110 bagi lelaki berbanding 100 bagi wanita.

Demikian menurut data Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pagi ini.

Katanya, dapatan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan juga menunjukkan, daripada 32.4 juta penduduk yang dibanci, 52.3 peratus ialah lelaki dan selebihnya 47.7 peratus perempuan.

 “Penemuan banci juga menunjukkan, negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki.

“Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus, diikuti etnik Cina (23.2%), India (6.7%) dan Lain-lain (0.7%),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika melancarkan dapatan awalan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) di Management and Science University di sini hari ini.

Selain itu, data bancian juga menunjukkan, daripada 32.4 juta penduduk Malaysia, 6.8 peratus berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun).

Warga emas, iaitu penduduk berumur 60 tahun ke atas, direkodkan sebanyak 10.4 peratus (3.4 juta) berbanding 8.0 peratus (2.2 juta) pada 2010.

Golongan umur muda penduduk Malaysia juga menunjukkan penurunan daripada 27.6 peratus pada 2010 kepada 24.0 peratus pada 2020.

Sumber: AWANI