Betulkah Umat Nabi Muhammad Yang Terawal Masuk Syurga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Beruntungnya kita menjadi umat Nabi Muhammad SAW kerana begitu banyak kelebihan yang diberikan kepada kita sehingga ke hari akhirat.

Kita adalah umat yang diberi peluang oleh Allah untuk bertaubat walaupun telah berkali-kali melakukan kesilapan dan dosa.

Berbeza dengan umat terdahulu; contohnya kaum Nabi Luth yang diazab oleh Allah kerana berkali-kali mengingkari teguran dan ajaran yang dibawa oleh Nabi Luth.

Manusia hari ini melakukan pelbagai dosa tetapi Allah tidak terus memberi azab yang berat sebaliknya Allah memberi peluang kepada kita untuk bertaubat. Itulah kelebihan yang ada pada umat Nabi Muhammad.

Kita juga adalah umat terakhir yang berada di atas muka bumi. Tiada nabi lain selepas Nabi Muhammad SAW. Namun begitu, meskipun kita merupakan umat terakhir, kita diberi ganjaran untuk memasuki syurga lebih awal.

Berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:

“Kita adalah umat terakhir (yang lahir ke dunia) dan umat yang terdahulu (menikmati kelebihan, ganjaran dan masuk syurga) pada hari kiamat walaupun mereka (umat terdahulu) diberikan kitab (syariat samawi) sebelum kita. Hari jumaat ialah hari yang telah difardukan ke atas mereka (untuk mendampingkan diri kepada Allah) tetapi mereka telah mempertikaikannya.

“Lalu, Allah memberi petunjuk kepada kita sedangkan mereka menerima hari-hari berikutnya, iaitu Yahudi pada hari Sabtu dan Nasrani pula pada hari Ahad.” (Hadis Riwayat Bukhari, No. 836)

Ulama menyebut bahawa kita adalah umat yang akan memasuki syurga terlebih dahulu sebelum semua umat yang lain.

Imam Hasan Al-Basri juga menyebut bahawa golongan yang beriman dari umat Nabi Muhammad adalah yang utama akan memasuki syurga diikuti dengan umat lain.

Mengapa kita ingin memasuki syurga terlebih dahulu? Kita tidak mengetahui bagaimana keadaan manusia di akhirat kelak ditambah dengan panas dan ujiannya waktu itu. Buat mereka yang dikurniakan ganjaran syurga, pastinya mereka akan terlepas dari ujian itu dan akan menikmati nikmat yang tiada tandingnya.

Oleh itu, semasa berada di dunia ini, ambillah peluang untuk beribadah dan melakukan amal sebagai bekalan kita kelak.

Sumber: TZKRH.COM