Haris merebahkan badannya di atas sofa putih yang baru dibeli minggu lepas. Matanya melihat ke luar tingkap lutsinar di tepi sofa itu. Bunyi guruh di luar rumah mula kedengaran tanda hujan akan mulai turun malam itu. Seketika dia mengelamun panjang. Matanya masih melihat ke luar tingkap, namun akal fikirannya tenggelam memikirkan perkara yang dikerjakan selama ini. Setiap kekayaan dan kemewahan yang dikecapinya ketika ini, tersembunyi satu rahsia yang tidak boleh diketahui oleh sesiapa sahaja terutamanya pihak polis. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana nasibnya jika dirinya ditangkap oleh pihak polis dan dihumbankan ke dalam penjara bertahun lamanya. Haris tersentak dari lamunannya apabila telefon bimbitnya berbunyi di atas meja kopi di depan sofa putihnya. Haris segera mengambil telefon itu dan melihat gerangan yang menghubunginya lewat malam ini. Tertera nama sahabatnya di skrin telefon iaitu Zafrul. Dia lantas menekan punat hijau di skrin telefonnya dan diletakkan di tepi telinga. Kedengaran suara garau sahabatnya memberi salam.
“Assalamualaikum sahabatku Haris. Kau apa khabar? Sihat?” soal Zafrul.
“Waalaikumussalam. Ada apa kau telefon aku malam-malam ni. Kalau setakat nak tanya khabar aku baik tak payah. Baik kau pergi tidur. Aku tak ada masa nak layan kau berborak Zafrul,” ujar Haris.
“Eh, nanti-nanti! Aku telefon kau malam-malam ni sebab aku nak beritahu kau sesuatu,” tahan Zafrul dengan suara yang teruja.
“Bagi tahulah cepat. Apa cerita yang menarik sangat tu sampai malam-malam telefon aku ni,” gesa Haris.
“Aku ada sebuah projek baru untuk kau. Tapi tak seronok lah bincang kat dalam telefon. Kita jumpa kat restoran hotel Grand esok pukul 1 petang. Kalau kau tak datang, aku bagi projek ni pada kontraktor lain,” ugut Zafrul bersama helaian ketawa yang sengaja dibuat-buat.
“Kau ni macam-macamlah. Aku cuti esok, bolehlah aku jumpa kau esok,” jawab Haris sambil sebelah tangannya menggosok mata kirinya yang dari tadi menahan ngantuk.
Panggilan ditamatkan. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Haris berjalan ke bilik tidurnya sambil kepalanya penuh dengan persoalan mengenai projek apa yang bakal dibincangkan Zafrul bersamanya esok.
Keesokan petangnya, Haris sampai di restoran Grand hotel seperti yang dijanjikan semalam. Bau aroma bunga Lavender yang wangi di restoran itu tidak mampu menghilangkan keresahannya. Haris berulang kali melihat jam di tangannya. Jam hampir menunjukkan pukul 1.30 petang, namun bayang Zafrul masih belum kelihatan. Haris mendengus berulang kali. Dia tidak suka orang yang tidak menepati masa. Baginya masa adalah emas. Lima minit kemudian baru kelihatan susuk tubuh Zafrul yang datang bersama sekeping sampul surat berwarna hitam di tangannya. Zafrul duduk di kerusi bertentangan dengan Haris. Dia menghulurkan sampul hitam tersebut kepada Haris. Haris yang melihat sampul tersebut lantas mengambil dan membuka sampul tersebut. Setelah meneliti isi kandungan yang tertera pada surat tersebut, Haris mula tersenyum apabila melihat jumlah bayaran yang ditulis pada surat tersebut.
“Terdapat satu projek baik pulih di kilang di tempat aku bekerja. Kalau kau berjaya dapat projek ini, kau akan menerima keuntungan berjumlah RM50,000! Aku saja syorkan projek tu pada kau. Aku selaku setiausaha di kilang itu ada diberi tanggungjawab untuk mencari kontraktor yang sesuai untuk projek itu. Sebelum ini pun kau ada cakap kan, kalau ada projek apa-apa yang memerlukan kontraktor terus beritahu kau. Tapi perlulah ada sedikit imbuhan untuk aku sebab aku dah bagi projek ni pada kau sorang je. Sebelum ini ada ramai kontraktor nak projek ini, tapi semua aku tolak,” ujar Zafrul bersama senyuman penuh makna.
“Kau tak payah risaulah Zafrul. Aku faham maksud kau. Esok aku masukkan duit dalam akaun bank kau. Terima kasih sebab bagi aku projek kali ni,” jawab Haris.
Keesokannya Haris memindahkan duit berjumlah RM15,000 ke dalam akaun Zafrul supaya dia dipilih untuk menjadi kontraktor untuk projek membaik pulih di kilang tersebut. Setelah duit berjaya dipindahkan ke dalam akaun Zafrul, Haris menghubungi Zafrul.
“Duit aku dah masukkan ke dalam akaun bank kau. Aku akan bawa kontrak persetujuan penerimaan kontraktor untuk ditandatangani oleh kau setelah aku melawat kilang tersebut. Ingat, rahsia ini jangan ada yang tahu. Biar pecah di perut, jangan pecah di mulut,” ujar Haris dengan tegas.
“Baik boss,” jawab Zafrul.
Tiga hari kemudian, Haris dan beberapa subkontraktor melawat kilang tersebut. Terdapat banyak yang perlu di baik pulih termasuklah membaik pulih struktur bangunan dan kemudahan asas di kilang tersebut yang perlu diselenggara dengan segera.
“Daripada pemerhatian aku, bangunan dan kawasan sekitar kilang ini banyak yang perlu di baik pulih segera termasuklah dari segi penyelenggaraan bangunan teknikal dan penurapan jalan. Penyelenggaraan kemudahan asas pun kena dibuat macam membaiki tangki air bocor, menyelenggara paip bekalan air rosak, membaiki kerosakan elektrik disebabkan kegagalan fius atau pemutus litar dan banyak lagi. Banyak juga kos yang perlu dikeluarkan untuk membaik pulih kilang ni,” kata Haris sambil mengesat peluh renik di dahinya dengan menggunakan sapu tangan biru gelapnya. Dia menyapu kaca matanya yang mula kabur dengan hujung lengan bajunya akibat habuk dan debu jalan ketika membuat pemeriksaan di kawasan tersebut.
“Berapa kos yang perlu dibayar untuk membaik pulih kilang ni?” soal Zafrul kepada Haris.
“Tak banyak pun. Lebih kurang RM30,000 sahaja. Tapi itu hanya kos anggaran. Bayaran keseluruhan hanya boleh dipastikan selepas baik pulih kilang ini selesai. Nanti aku akan beritahu kau dengan lebih terperinci pasal bayaran keseluruhan kos tu. Kau tak perlu risau,” jawab Haris.
Zafrul menarik Haris berdiri sedikit jauh dari subkontraktor yang lain. Haris memandang Zafrul dengan pelik namun hanya menuruti langkah rakannya itu. Haris mula menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Kenapa kau tarik aku ke tempat yang jauh ni. Kau boleh je cakap kat sana. Senang semua subkontraktor aku boleh dengar apa yang kau nak cakap,” ujar Haris kepada Zafrul.
“Tak boleh. Ini rahsia. Pasal kos penyelenggaraan tu, boleh tak kau usahakan untuk kurangkan kos penyelenggaraan tu. Sebab duit yang kilang tu peruntukkan untuk kos baik pulih tu, aku dah terguna separuh. Kau guna jelah kualiti bahan penyelenggaraan yang murah dan kurang berkualiti supaya kos penyelenggaraan dapat dikurangkan.”
Haris memicitkan kepalanya berulang kali. Permintaan Zafrul kali ini agak susah untuk dipenuhi. Jika timbul masalah tertentu di kilang tersebut, sudah tentu dia dan Zafrul akan disiasat oleh pihak polis. Namun mengingatkan Zafrul telah membantunya mendapat projek tersebut, dia akhirnya bersetuju. Petang itu, Haris telah menandatangani kontrak perjanjian kontraktor bersama Zafrul dan kerja-kerja membaik pulih dan menyelenggara akan dilakukan satu minggu dari sekarang selepas selesai membeli barang-barang penyelenggaraan, mengumpulkan tenaga kerja dan sebagainya.
Seminggu selepas itu, kerja-kerja baik pulih bermula. Haris telah menentukan bahagian-bahagian yang akan diselenggara dan bahagian-bahagian yang tidak perlu diselenggara. Haris memilih untuk tidak melakukan baik pulih secara menyeluruh di kilang tersebut. Hal itu bertujuan bagi mengurangkan kos membaik pulih yang seharusnya dikeluarkan oleh kilang tersebut. Haris telah meminta supaya pekerja-pekerjanya membaiki bahagian-bahagian yang hanya perlu diselenggara dari luar sahaja manakala di dalam tidak perlu dibaiki. Subkontraktornya hanya menurut kerana tidak mahu dibuang kerja. Haris sebagai kontraktor utama juga pernah beberapa kali tidak melawat tapak projek membaik pulih kilang tersebut atas alasan tidak sihat tanpa ada surat cuti sakit dari pihak perubatan. Pernah beberapa kali juga Haris menundakan proses membaik pulih di kilang tersebut sehingga memakan masa berminggu lamanya. Apabila ditanya oleh Zafrul, Haris sentiasa memberi alasan yang sama.
“Ha! Kenapa pula kali ini kau tangguhkan baik pulih kat kilang tu. Bukan satu hari kau tangguh, tapi tiga minggu dah kau tangguh. Ini tiada dalam perjanjian kontraktor yang kita tandatangani hari itu. Kau jangan macam-macam Haris. Nanti pengurus besar kilang tahu dan buat laporan yang kau tak buat kerja baru padan muka kau,” tempelak Zafrul.
“Ala, aku tahulah. Aku bukan sengaja nak tangguh-tangguh baik pulih di kilang tu. Aku tengah tunggu penambahan bahan-bahan kontraktor yang baru aku tempah dari luar negara untuk sampai ke Malaysia. Lama pula kali ni bahan-bahan tu nak sampai ke Malaysia,” balas Haris. Dia berusaha menyembunyikan kegusaran di wajahnya dengan menundukan mukanya ke bawah ketika berbual dengan Zafrul.
“Eh, bukan ke tempoh hari kau setuju bila aku suruh kau kurangkan kos membaik pulih di kilang tu. Tapi hari ni kau cakap kau pergi beli bahan-bahan baik pulih yang baru dari luar negara pula. Bahan-bahan tu mesti mahal. Kenapa kau tak bincang dulu dengan aku. Nanti bahan-bahan tu semua siapa nak bayar,” marah Zafrul.
“Bertenang dulu Zafrul. Baiklah aku jujur dengan kau. Aku tipu kau yang aku ada beli bahan dari luar negara. Sebenarnya aku tangguh projek baik pulih kat kilang tu sebab nak bawa teman wanita aku bercuti kat luar negara. Aku tak boleh nak tolak permintaan dia. Aku dah janji dengan dia nak teman dia ke luar negara. Kau boleh faham aku kan?” jujur Haris sambil membuat ekspresi wajah sedih.
“Aku dah agak dah. Orang lain bolehlah kau tipu, tapi jangan haraplah kau boleh tipu aku.” Ingin sahaja Zafrul membuat laporan terhadap Haris supaya Haris dikenakan tindakan tatatertib atau dibuang kerja namun mengingatkan Haris juga menyimpan rahsianya yang pernah menerima wang suapan menyebabkan dia terpaksa berdiam diri.
Najmi merupakan salah seorang kakitangan di kilang tersebut. Dalam tempoh sebulan lebih, dia menyedari bahawa kerja-kerja membaik pulih tidak dilakukan sepenuhnya dan dia telah membuat aduan kepada setiausaha pengurus besar iaitu Zafrul yang bertanggungjawab untuk mencari kontraktor bagi kerja-kerja membaik pulih di kilang tersebut. Meskipun Najmi telah membuat aduan, namun aduan tersebut hanya dibiarkan sepi tanpa ada apa-apa penyelenggaraan dibuat kedua kalinya. Zafrul hanya memberitahu kakitangan di kilang tersebut bahawa bayaran telah dibuat kepada pihak kontraktor namun pihak kontraktor masih tidak sempat membaik pulih untuk kedua kalinya atas sebab-sebab tertentu.
Namun, kerja-kerja membaik pulih kembali diteruskan dan telah ditamatkan dua bulan selepas itu. Seminggu selepas itu, Haris telah dihubungi oleh Zafrul. Suara cemas Zafrul kedengaran di corong telefon.
“Haris! Macam mana ni Haris. Ada berlaku kemalangan di kilang ni. Tiga orang kakitangan cedera sehingga tak sedarkan diri akibat renjatan elektrik dan terpaksa dirawat di hospital. Mereka syak yang penyelenggaraan di kilang ni tak dilakukan dengan baik. Seorang kakitangan juga dilaporkan mengalami cedera ringan tiga hari lepas kerana hampir dihempap lampu pendaflour yang rapuh semasa melakukan kerja. Aku risau kita akan tertangkap nanti,” ujar Zafrul dengan nada cemas.
“Kau janganlah cemas. Nanti orang syak macam mana. Kau dah buat laporan pihak polis belum?” soal Haris.
“Aku baru sahaja habis disoal siasat. Tapi aku rasa macam polis syak sesuatu. Sebab aku diberitahu yang mereka akan minta pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melakukan siasatan untuk kes ini. Tentu kau juga nanti akan disoal siasat. Aku takutlah Haris. Aku tak nak masuk penjara.”
Haris mula berwajah pucat apabila mendengar sahaja nama SPRM disebut. Setelah panggilan ditamatkan, telefon Haris kembali berbunyi. Tertera nombor panggilan tidak dikenalinya. Dia segera menjawab panggilan tersebut. Suara perempuan kedengaran di hujung talian.
“Hello Encik Haris. Saya Puan Suhaila dari pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ingin meminta Encik Haris supaya menghadirkan diri ke pejabat SPRM esok pagi untuk membantu siasatan berhubung kecederaan yang dialami oleh empat orang penghuni di Kilang Sony. Saya mendapat makluman bahawa Encik Haris bertanggungjawab sebagai kontraktor utama bagi projek membaik pulih di kilang tersebut,” jelas Puan Suhaila.
“Baiklah…saya akan datang ke pejabat SPRM pukul 9 pagi esok,” jawab Haris dengan tergagap-gagap.
“Baiklah Encik Haris. Terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Encik Haris.”
Panggilan segera ditamatkan. Haris mula menjadi cemas. Dia mula mengemas beberapa pakaiannya dan dimasukkan ke dalam beg bagasi. Dia mengambil passport miliknya di dalam laci meja serta kesemua wang tunai berjumlah RM150,000 ringgit dan dimasukkan ke dalam bagasi miliknya. Dia segera memandu kenderaannya ke negeri Kelantan. Semasa Haris sedang memandu, kerap kali telefonnya dihubungi Zafrul namun Haris tidak mahu menjawab. Sampai sahaja di Kelantan, Haris telah menempah sebuah bilik hotel yang paling dekat dengan Boundary Malaysia-Thailand kerana hari telah pun lewat petang. Dia mahu pergi ke luar negara keesokan paginya.
Keesokan paginya, Haris telah dihubungi oleh pejabat SPRM dan Zafrul berulang kali. Kegagalan Haris menghadirkan diri ke pejabat SPRM mengikut waktu yang telah ditetapkan untuk disoal siasat menyebabkan dirinya telah menjadi buruan polis. Ini kerana, Haris tidak memberikan apa-apa alasan yang munasabah mengapa dia tidak dapat hadir ke pejabat SPRM. Nama Haris juga telah disenarai hitam untuk pergi ke luar negara. Sewaktu Haris berada di sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, Haris telah ditahan dua orang polis dan dua orang pasukan Gerakan Am (PGA) di pintu sempadan negara. Polis berjaya menahan Haris di sempadan Kelantan-Thailand disebabkan keterangan dari Zafrul setelah disoal siasat oleh pasukan SPRM.
Haris dan Zafrul telah direman selama tujuh hari bagi membantu kes memberi dan menerima rasuah berjumlah RM15,000 untuk kerja-kerja membaik pulih kilang di Selangor sejak sebulan yang lalu. Kes tersebut telah disiasat mengikut seksyen 17(a) Akta SPRM 2019.
Haris juga telah disiasat berhubung penerimaan rasuah olehnya sebelum ini dari kontraktor-kontraktor lain bagi membantu mereka dalam mendapatkan projek pembekalan, perkhidmatan dan penyelenggaraan yang bernilai ratusan ribu ringgit dari pelbagai agensi swasta. Haris amat menyesal kerana melibatkan dirinya dalam kegiatan menerima dan memberi rasuah. Kegiatan rasuah yang dilakukan selama ini akhirnya sampai ke pengetahuan pihak berkuasa. Kerjayanya sebagai kontraktor musnah dalam sekelip mata. Dia juga dipinggirkan oleh masyarakat serta keluarga.