COVID-19: 37 Kematian Baharu Direkod, 10 BID

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 37 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,347 orang, daripada 3.2 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 10 daripada 37 kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 251,678 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 238,620 individu atau 94.8 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 5,287 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 7,524 kes dirawat di hospital dan 247 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 108 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 139 lagi memerlukan mesin ventilator.

Sumber: AWANI