Rugi RM1,849 Terpedaya Tawaran Lesen Memandu Tidak Wujud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Seorang lelaki mengalami kerugian sebanyak RM1,849 apabila ditipu individu yang menawarkan kemudahan mendapatkan lesen memandu tanpa perlu melakukan ujian yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa yang bekerja di pusat khidmat pelanggan kenderaan tertarik selepas melihat iklan membuat lesen memandu tanpa ujian dalam aplikasi Facebook.

Beliau berkata, mangsa beralamat di Kampung Pintu Padang, Raub begitu tertarik dan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp untuk mendapatkan maklumat selanjutnya.

“Selepas perbincangan, mangsa bersetuju untuk mengambil lesen memandu kelas D di mana harga yang ditawarkan suspek adalah RM599.

“Mangsa membuat lima kali transaksi ke akaun bank individu terbabit sebanyak RM1,849 bagi tujuan proses membuat lesen memandu kelas D,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, walaupun semua bayaran diminta dijelaskan mangsa, namun mangsa masih belum menerima lesen memandu yang ditempahnya dan berasa dirinya ditipu lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub semalam.

Mohd Wazir berkata, modus operandi suspek memperdayakan mangsa dengan menawarkan jualan lesen memandu yang tidak wujud di laman Facebook sehingga mendorong mangsa memasukkan wang dan mengalami kerugian.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh didenda jika sabit kesalahan.

Sumber: BERITA HARIAN