Terengganu Benar Hadir Solat Jumaat Tanpa Dos Penggalak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Jemaah yang lengkap dua dos vaksin diberi kebenaran hadir menunaikan solat Jumaat walaupun tanpa suntikan dos penggalak.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail, berkata walaupun dibenarkan, tetapi jemaah digalakkan untuk mendapatkan suntikan dos penggalak.

“Kita masih mengekalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada termasuk penjarakan antara jemaah dan mewajibkan setiap jemaah merekodkan butiran menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Jemaah juga diwajibkan merekodkan butiran peribadi termasuk menulis nombor telefon pada buku disediakan di pintu masuk masjid,” katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan Pelaburan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, jemaah yang belum mendapatkan dos penggalak dibenarkan hadir untuk menunaikan solat Jumaat, tetapi wajib lengkap dua dos.

“Setakat ini tiada arahan dikeluarkan hanya membenarkan jemaah dengan dos penggalak hadir menunaikan solat Jumaat.

“Kita masih mengguna pakai SOP terdahulu termasuk setiap jemaah perlu memakai pelitup muka ketika hadir untuk menunaikan solat Jumaat,” katanya.

Mengulas kapasiti masjid, Shaikh Harun menjelaskan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sudah menitahkan semua masjid menyediakan kanopi mencukupi di ruang luar, termasuk di kawasan parkir masjid atau ruang kosong bersesuaian bagi membolehkan lebih ramai jemaah dapat mendirikan solat Jumaat.

Katanya, masjid yang mempunyai ruang solat bertingkat juga sudah dititahkan dibuka dan digunakan sepenuhnya untuk kegunaan solat Jumaat.

“Mesyuarat khas MAIDAM kali pertama yang bersidang pada 11 Januari lalu mengambil keputusan dan ketetapan bersetuju pengimbas suhu badan tidak diwajibkan.

“Tetapi semua jemaah diwajibkan merekodkan butiran dengan dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau ditulis pada buku disediakan di pintu masuk masjid dan surau,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN