PERKESO Pahang Bayar Tuntutan Caruman RM25.05 Juta Tahun Lalu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Pahang membuat pembayaran faedah caruman berjumlah RM25.05 juta membabitkan 9,615 kes tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 4,476 kes membabitkan penyakit jangkitan COVID-19 iaitu berjumlah RM3.36 juta.

Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar, berkata baki jumlah iaitu 5,139 kes pula membabitkan bayaran faedah kes kemalangan, hilang upaya kekal dan penyakit kronik.

“Bagi skim insurans pekerjaan, sejumlah RM 9.1 juta dibayar kepada 9,114 pekerja yang kehilangan pekerjaan tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Tarmizi berkata, kewujudan skuad PERKESO Prihatin turut membantu mempercepatkan tuntutan kes.

Katanya, setakat ini, skuad itu akan menjalankan siasatan sebaik menerima aduan atau mendapat laporan menerusi media cetak, elektronik atau media sosial.

“Sebaik mendapat maklumat, kita akan mendapatkan nombor kad pengenalan sama ada mereka yang terbabit dalam kemalangan dan menghidap penyakit.

“Selepas itu, kita akan membuat semakan sama ada layak untuk menerima skim faedah PERKESO,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN