Tabung Haji Agih Untung RM2.46 Bilion

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus, membabitkan nilai RM2.46 bilion bagi tahun kewangan 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata agihan itu akan memberi manfaat kepada lebih 8.4 pendeposit Tabung Haji dengan jumlah keuntungan diagih adalah RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Beliau berkata, agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus.

Katanya, kadar berkenaan sudah mengambil kira peruntukan zakat bernilai RM107 juta, yang akan dilunaskan kepada semua Majlis Agama Islam negeri bagi pihak pendeposit.

“Kadar pulangan 2021 juga adalah selepas mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk serta saham yang mencabar pada tahun lalu, selain dua keperluan Tabung Haji. “Keperluan berkenaan ialah mengagihkan keuntungan secara berhemah dan mampan mengikut kemampuannya serta membina pegangan rizab bagi memastikan kedudukan kewangan Tabung Haji terus kukuh untuk masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Agihan Keuntungan Tabung Haji 2021, di sini, hari ini.

Sumber: BERITA HARIAN