Banjir: Gangguan Bekalan Air di 44 Kawasan Hulu Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 44 kawasan di Hulu Terengganu mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas Loji Rawatan Air (LRA) di daerah itu terpaksa dihenti tugas.

Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan ia disebabkan air mentah yang telah masuk ke rumah pam sangat keruh dan melepasi keupayaan reka bentuk loji.

“Jangkaan untuk LRA itu beroperasi sepenuhnya, belum dapat dipastikan buat masa sekarang kerana air mentah yang sangat keruh itu masih tidak dapat dirawat.

“SATU juga perlu memastikan semua peralatan di LRA berada dalam keadaan baik dan boleh dioperasikan tanpa membahayakan keselamatan kakitangan SATU, terutama yang membabitkan arus elektrik,” menurut kenyataan itu.

Justeru bagi memastikan penduduk menerima bekalan air bersih, SATU memaklumkan, empat lori tangki air sedang digerakkan secara berperingkat ke kawasan terjejas, dengan keutamaan diberi kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.

SATU sekali gus memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka ketika mendapatkan bekalan air daripada lori tangki.

Menurut SATU, pihaknya akan memaklumkan perkembangan lanjut situasi semasa menerusi saluran komunikasi seperti laman sesawang www.satuwater.com.my, aplikasi MySATU, Facebook, Instagram atau hubungi careline melalui talian 1300-88-2111 jika ada sebarang pertanyaan dan aduan.

Sumber: BERITA HARIAN