Bah Paras Pinggang, 5 Beranak Termasuk Bayi Diselamatkan Bomba

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA KRAI – Lima beranak termasuk seorang bayi berusia enam bulan, diselamatkan anggota bomba selepas jalan utama kawasan kediaman mereka di Kampung Bechah Batu Besar, di Kuala Krai ditenggelami banjir mencecah paras pinggang, semalam.

Nursuhaira Yajid, 37 tahun berkata seorang ahli keluarganya meranduk air sejauh 500 meter (m) ke jalan utama untuk mendapatkan bantuan lalu bertembung anggota bomba yang sedang melakukan operasi menyelamat mangsa banjir di kawasan terbabit.

Beliau berkata, anggota bomba terbabit segera menyelamatkan mereka sekeluarga dengan menggunakan bot.

“Hujan lebat sejak beberapa hari lalu menyebabkan air dalam parit melimpah membanjiri kawasan kampung ini. Air naik dengan cepat hingga mencecah paras paha di halaman rumah saya, selain memenuhi ruang dapur.

“Justeru, kami mengambil keputusan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Telekong kerana bimbang akan keselamatan tiga anak saya yang berusia antara enam bulan hingga sembilan tahun, namun jalan utama dinaiki air setinggi paras pinggang pula,” katanya ketika ditemui, di sini.

Nursuhaira berkata, kejadian banjir turut menyebabkan temu janji kesihatan bayinya, Nur Arisha Dafina Mohd Suhardi, di Klinik Kesihatan Telekong juga terpaksa ditangguhkan.

“Setiap kali hujan lebat, saya dan suami akan berjaga-jaga kerana bimbang air naik mendadak seperti yang pernah berlaku ketika ‘bah kuning’ pada 2014 yang bagaikan mimpi ngeri kepada penduduk di sekitar Kuala Krai.

“Walaupun sudah lali berdepan banjir, perasaan cemas tetap ada setiap kali air sungai melimpah. Lazimnya apabila hujan berterusan dan air sungai semakin meningkat, kami sekeluarga akan bersiap sedia untuk berpindah.

“Bagaimanapun sebelum ini, keadaan banjir yang cepat naik dan juga cepat surut menyebabkan kami sekeluarga tidak perlu bermalam lama di PPS,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN