4 Sungai di Pahang Lepasi Paras Amaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN – Empat sungai di Pahang merekodkan bacaan air melepasi paras amaran, membabitkan di Jerantut dan masing-masing satu di Maran serta Kuantan, setakat jam 10.30 pagi tadi.

Menurut maklumat dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai berkenaan ialah Sungai Tembeling di Kuala Tahan dan Kampung Merting, Jerantut. Selain itu, di Sungai Luit, Kampung Subuh, Maran dan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan.

Enam sungai pula mencatat bacaan paras waspada, iaitu Sungai Pahang di Sungai Yap dan Sungai Pahang di Paya Gintong, Jerantut.

Seterusnya, Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera, Sungai Jempol di FELDA Jengka, Maran, Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan dan Sungai Keratong, Jalan Kota Bahagia, Rompin.

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang memaklumkan setakat ini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

“Situasi di Pahang masih terkawal dan pemantauan dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Zahar Abdullah, berkata jabatan itu telah bersiap sedia dari aspek keanggotaan dan peralatan serta aset berkaitan bagi menghadapi kemungkinan banjir kilat di semua daerah di negeri ini.

Sumber: BERITA HARIAN