85 Peserta Rimbunan Kaseh Terima Kunci Hak Milik Kekal Rumah Selepas 7 Tahun Menunggu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN – Penantian selama 7 tahun mengenai status kediaman bagi 85 peserta projek Rimbunan Kaseh akhirnya terjawab hari ini apabila Kerajaan Negeri Terengganu menyerahkan hak milik kekal kediaman mereka melalui kaedah sewa beli pada kadar RM68,000 kepada peserta terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Azman Ibrahim mewakili kerajaan negeri menzahirkan kelegaan dalam kejayaan kerajaan negeri menyelesaikan isu yang belanjutan sejak tahun 2017 itu.

Menurut beliau, projek yang yang bermula sejak 2015 melalui dua komponen iaitu kawasan perumahan terdiri 100 buah rumah serta infrastruktur, dan komponen kedua ialah 26 rumah hijau.

“Pada 2017 projek ini terbengkalai, kemudian IRIS meninggalkan projek ini dan Jabatan Pembangunan Persekutuan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk menyelesaikan projek ini.

“Alhamdulillah mejelang tahun 2020 kita telah berjaya pulihkan komponen ladang, green house, struktur pelindung hujan yang sebelum ini koyak dipulihkan melalui anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) dengan tanaman Melon Manis Terengganu”

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMM Rimbunan Kaseh kepada semua peserta di sini, hari ini.

Turut hadir di majlis berkenaa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun, Yang Di Pertua (YDP) Majlis Perbandaran Dungun, Azizul Abdul Hadi, Pegawai Daerah Dungun, Jusman Ibrahim, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu, Zulkifli Amin dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Ahmad Ridzuan Abdul Rahman.

Jelas Dr Azman, sebelum ini, harga rumah tersebut bernilai RM140,000 tetapi para peserta mendapat manfaat dengan kaedah sewa beli selama 25 tahun pada kadar RM68,000 sahaja.

“Ini menjadikan pemilik perlu membayar hanya kira-kira RM180 sebulan yang dikira tidak membebankan kepada 85 peserta asal dan 10 peserta tambahan yang kita berikan surat tawaran pada hari ini.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM