COVID-19: 77 Kematian Baharu Direkod, 26 BID

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 77 kematian baharu akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi.

Angka korban terbaharu semalam itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik berkenaan kini 33,305 orang, daripada 3.62 juta kes positif COVID-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal COVIDNOW, 26 daripada kes kematian yang dilaporkan berlaku di luar hospital atau ‘brought-in-dead’ (BID).

Kes kematian dilaporkan itu turut melibatkan sejumlah kes tertunggak dengan ada antara kes meninggal dunia beberapa minggu lalu.

Ini berikutan proses pengesahan sama ada pesakit COVID-19 meninggal dunia akibat pandemik tersebut mengambil masa.

Sementara itu, terdapat 304,304 kes aktif COVID-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, 291,827 individu atau 95.9 peratus daripadanya sedang menjalani kuarantin di rumah.

Seramai 3,373 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).

Sebanyak 8,736 kes dirawat di hospital dan 368 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU membabitkan 145 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 223 lagi memerlukan mesin ventilator.

Sumber: BERITA HARIAN