Banjir: Lima negeri Terkesan, Melaka dan Negeri Sembilan Terbaharu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Lima negeri kini terkesan dengan banjir susulan ketidaktentuan cuaca yang dialami negara.

Sehingga lewat malam tadi, seramai 1,520 mangsa daripada 408 keluarga terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara dengan Negeri Sembilan dan Melaka menjadi negeri terbaharu.

Berdasarkan laporan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu dengan 1,091 mangsa daripada 291 keluarga.

Kesemua mereka ditempatkan di 10 PPS di sekitar di enam kawasan termasuk Subang, Shah Alam, Hulu Langat, Kuala Langat, Gombak dan Sepang.

Ini diikuti Kuala Lumpur dengan 225 mangsa daripada 54 keluarga.

Dua PPS masih aktif di Kuala Lumpur iaitu di Brickfields dan Dang Wangi.

Ini diikuti Kelantan dengan 149 daripada 45 keluarga di satu PPS di Pasir Mas.

Melaka catat 33 mangsa daripada sembilan keluarga di satu PPS di Jasin.

Manakala Negeri Sembilan dengan 22 mangsa daripada sembilan keluarga di satu PPS di Jelebu.

Sumber: AWANI