Yayasan Terengganu Peruntuk RM23 Juta Biasiswa SPC Tahun Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM23 juta melalui Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) pada tahun ini yang bakal memberi manfaat kepada 425 pelajar cemerlang di negeri itu.

Pengarah Yayasan Terengganu Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham berkata daripada jumlah tersebut iaitu RM20 juta adalah kepada 350 pelajar Ijazah Sarjana Muda manakala RM3 juta lagi kepada 75 pelajar Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah.

Beliau berkata, biasiswa SPC ini telah mula diperkenalkan pada tahun 2019 dan sehingga kini, seramai 632 pelajar telah mendapat manfaatnya.

Katanya, Yayasan Terengganu juga baru bekerjasama dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) di kedah untuk menawarkan penajaan program pengajian perubatan dan pembedahan (MBBS).

“Buat permulaan, seramai 10 pelajar akan ditaja dengan anggran kos sebanyak RM3.2 juta bagi tempoh lima tahun. Yayasan juga akan menghantar 15 pelajar bagi melanjutkan pengajian di Emir Abdelkader University Of Islamic Sciences, Constantine dan Algeria pada awal September depan,” katanya.

Mohd Azmi berkata bantuan ini telah dimulakan pada tahun 1995 bagi meringankan beban perbelanjaan para pelajar untuk persiapan diri dan pendaftaran ke SBP serta Institut Pengajian Tinggi (IPT). Bantuan one-off ini diberikan kepada semua anak Terengganu yang memenuhi syarat ditetapkan dan berjaya melanjutkan pengajian di mana-mana IPT sama ada awam atau swasta.

Sumber: BERNAMA