Warga Emas Catat 10 Peratus Jangkitan COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PUTRAJAYA – Jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga emas di negara ini mencatat hampir 10 peratus daripada 3,711,199 kes positif yang direkodkan dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata sepanjang tempoh itu, Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan 367,522 kes atau 9.9 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan kumpulan berkenaan.

Beliau berkata, sebanyak 19,250 (57.4 peratus) kematian akibat COVID-19 yang dilaporkan adalah dalam kalangan warga emas.

“Berbanding kumpulan usia yang lebih muda iaitu kurang 60 tahun, jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 dengan komplikasi teruk.

Katanya, ia berikutan daya tahan tubuh yang rendah, penyakit kronik dihidapi warga emas dan proses penyembuhan serta pemulihan daripada jangkitan COVID-19 juga lebih perlahan dan rumit.

Katanya, kadar kematian warga emas juga lebih tinggi berbanding golongan lain.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, warga emas di pusat jagaan terdedah risiko jangkitan COVID-19 yang berkemungkinan menjadi tidak terkawal sekiranya penghuni dan penjaga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, mereka di pusat jagaan lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kematian akibat COVID-19 berbanding warga emas dalam komuniti.

“Faktor usia, keadaan mereka yang lebih lemah dan pelbagai penyakit kronik yang dihidapi menjadikan mereka paling berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk dan memerlukan kemasukan ke hospital serta kebergantungan yang tinggi kepada rawatan intensif.

“Penularan jangkitan COVID-19 dalam pusat jagaan warga emas lebih mudah dan cepat kerana jumlah penghuni yang ramai mengakibatkan kesukaran amalan penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau berkata, data antarabangsa pada 2020 melaporkan 47 peratus kematian adalah dalam kalangan warga emas yang tinggal di institusi berkediaman.

Katanya, KKM merekodkan 154 (39.6 peratus) kluster COVID-19 di pusat jagaan warga emas antara 25 Januari 2020 sehingga 3 Mac lalu.

Dr Noor Hisham berkata, kluster itu penyumbang tertinggi berbanding kluster kumpulan berisiko lain seperti kluster di pusat jagaan kanak-kanak dan pusat dialisis.

Sumber: BERITA HARIAN