Benarkah Terdapat Larangan Melunjur Kaki Ke Arah Kiblat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kiblat merupakan arah manusia ketika menunaikan solat. Ia adalah arah yang menyatukan seluruh umat Islam dengan menjadikan Kaabah sebagai panduannya. Maka, apabila berbicara soal kiblat, terdapat pelbagai isu dan perkara yang disebut dengan tujuan menghormatinya.

Antaranya ialah benarkah kita tidak dibenarkan melunjur kaki ke arah kiblat kerana ia bertujuan untuk menghormatinya?

Dalam hal ini sebenarnya tiada dalil yang menyebut larangan melunjur kaki ke arah kiblat.

Syeikh Muhammad bin Salih Al-Utsaimin menyebut: “Tidak ada dosa bagi orang yang tidur sementara kakinya ke arah kiblat. Bahkan, sebahagian ulama mengatakan: “Sesungguhnya orang yang sakit, yang tidak mampu berdiri atau duduk, maka dia boleh menunaikan solat sambil berbaring dan wajahnya menghadap ke arah kiblat. Jika tidak mampu, dia boleh menunaikan solat sambil terlentang dan kakinya ke arah kiblat.” (Fatwa Ibnu Utsaimin, 2:976)

Imam Abu Hanifah dan Imam Malik juga menyebut bahawa dibolehkan untuk menjulurkan kaki ke arah kiblat.

Bagaimanapun, sebahagian ulama ada yang berpendapat bahawa hukumnya dimakruhkan. Hal ini kerana kiblat adalah arah untuk umat Islam menunaikan solat. Jadi, ia perlu dimuliakan dan dihormati.

Ia adalah disebut dalam beberapa kitab seperti Tabyin Al-Haqaiq dan dipersetujui oleh Imam Zarkasyi.

Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa ia adalah dilarang hanya ketika Kaabah berada di hadapan. Secara mudahnya, dilarang menjulur kaki ke arah kiblat jika anda sedang berada di Kaabah.

Dr Ali Jumaah berkata: “Dengan dinisbahkan kepada dua tapak kaki pada arah kiblat, aku belum menemui nas pada Quran dan Sunnah yang melarang. Maka, tidak adalah dalil pengharamannya. Kecuali, ia adalah adab pada sebahagian solihin yang dipegang kerana segannya mereka kepada Allah dengan tidak meluruskan kaki ke arah Kaabah.” (Fatwa Dr. Ali Jumaah)

Dapat disimpulkan bahawa tiada larangan melunjur kaki ke arah kiblat. Ulama hanya memakruhkannya jika kaki benar-benar dijulurkan di hadapan Kaabah. Yang dilarang adalah menghadap atau membelakangi kiblat ketika membuang air besar dan kecil di dalam tandas.

Sumber: TZKRH.COM