KOTA BHARU – Seorang penganggur terlepas daripada hukuman mati di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh pesara polis empat tahun lalu, selepas mahkamah memutuskan tertuduh gila ketika kejadian.
Tertuduh, Mohd Rozani Yahaya, 43, yang memakai kemeja putih dan berseluar jeans kelihatan tenang selepas keputusan mahkamah itu dibaca.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Ab Halim Che Yusoff yang berusia 69 tahun ketika kejadian di tepi rumah di Kampung Apa-Apa Bunut Susu, Pasir Mas pada 12 tengah hari, 25 Januari lalu 2018.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Pendakwaan dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Zameri Mat Nawang.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh ketika membacakan penghakiman di akhir pembelaan berkata, berdasarkan kepada keterangan pakar perubatan, tertuduh didapati tidak siuman ketika kejadian pada 25 Januari 2018.
“Mahkamah mendapati tertuduh tidak bersalah kerana ketika kejadian lelaki itu didapati gila.
“Mahkamah mengeluarkan perintah mengikut Seksyen 348 (2) Kanun Prosedur Jenayah supaya Mohd Rozani diletak di bawah penjagaan selamat di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, dekat Perak sehingga mendapat perintah Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V,” katanya.
Wan Ahmad Farid memaklumkan Mohd Rozani mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) mental sejak 2004 selepas dirawat di wad sakit jiwa Hospital Raja Perempuan Zainab II.
Menurutnya, pihak hospital mengesahkan tertuduh mengalami masalah mental kerana pengambilan dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Sumber: BERITA HARIAN