Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s Tarikan Baharu Kuala Lumpur

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – McDonald’s Malaysia mengambil inisiatif ke arah menjadikan Kuala Lumpur bandar raya sejahtera menjelang 2030 dengan menampilkan Lintasan Pejalan Kaki ‘Fries’ McDonald’s di persimpangan utama lintasan pejalan kaki Bukit Bintang di sini.

Lintasan pejalan kaki di hadapan restoran McDonald’s Bukit Bintang iaitu restorannya yang pertama dibuka di Malaysia sejak 40 tahun lepas, diilhamkan daripada fries atau kentang goreng yang menjadi menu utama pelanggan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia Datuk Azmir Jaafar berkata inisiatif itu merupakan tanda sokongan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam meningkatkan pelan pembangunan fizikal, perkhidmatan dan sosioekonomi di ibu kota.

Katanya, diharap insiatif ini dapat melonjakkan lagi nama Kuala Lumpur khasnya dan Malaysia amnya sebagai sebuah destinasi wajib bagi pengunjung ke Kuala Lumpur. 

Azmir berkata perniagaan McDonald’s mula bertapak di Malaysia sejak 40 tahun lepas dengan restoran pertamanya dibuka pada 1982 dan sehingga kini telah membuka 318 restoran serta menyediakan peluang kerjaya kepada 15,000 pekerja.

“Melalui visi McDonald’s Malaysia 2026, kami akan membuka 205 restoran baharu yang akan menjadikan 500 restoran McDonald’s di negara ini menjelang 2026 sekali gus mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak muda,” katanya.

Beliau juga berkata menyumbang semula kepada komuniti adalah nilai utama McDonald’s dan hasil kerjasama dengan pelbagai pihak telah menyumbang antaranya lebih 1.5 juta pek makanan bernilai hampir RM10 juta kepada petugas barisan hadapan sejak COVID-19 melanda negara.

Azmir berkata sempena Ramadan akan datang, sumbangan jamuan moreh akan diteruskan dan akan diedar kepada masjid-masjid berhampiran restoran McDonald’s di Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya.

“Kerajaan juga akan beri sokongan kepada syarikat-syarikat agar aktiviti ekonomi mereka dapat diteruskan sekali gus menjana lebih banyak peluang pekerjaan,” katanya.

Sumber: BERNAMA