Tiada Lagi Penjarakan Fizikal di Masjid, Surau Wilayah Persekutuan Bermula 1 April

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Mulai 1 April ini, tiada lagi penjarakan fizikal untuk solat berjemaah di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan dan jemaah boleh merapatkan saf.

Menurut Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail, jemaah pada masa sama terus digalakkan untuk membawa dan menggunakan sejadah sendiri.

Selain itu, kehadiran ke masjid dan surau dibenarkan tanpa had umur kepada individu yang telah menerima vaksinasi COVID-19.

Masjid dan surau juga dibenarkan bagi mengerjakan solat sunat terawih 20 rakaat sepanjang bulan Ramadan, begitu juga aktiviti qiyamullail selepas tengah malam.

Tambah Mohd Ajib, mulai tarikh itu juga, JAWI membenarkan aktiviti tadarus Al-Quran di masjid dan surau yang dihadiri kumpulan-kumpulan kecil, pada mana-mana waktu yang bersesuaian.

“Semua kebenaran tersebut adalah tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan, selaras nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.

“Semoga lebih ramai jemaah dapat mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah-wilayah Persekutuan dan terus bermunajat dan berdoa agar penularan wabak COVID-19 segera dibendung, serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada Allah,” katanya.

Kelonggaran ini diumumkan hampir dua tahun selepas Putrajaya pertama kali mengenakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara termasuk melibatkan kegiatan keagamaan.

Penangguhan semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau termasuk solat Jumaat pada 18 Mac 2020 itu dibuat selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas pada 15 Mac 2020.

Bagaimanapun, mulai 12 Jun 2020, semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam Zon Hijau di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dibuka bagi Solat Jumaat dan solat berjemaah mengikut garis panduan ditetapkan di bawah PKP Pemulihan.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bermula 1 April ini, aktiviti solat jemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal.

Sumber: AWANI