Proses Tukar Rumput Stadium Nasional Bermula Januari 2023

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata proses penukaran rumput padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil dijangka bermula pada Januari tahun depan.

Tunku Ismail yang juga pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjelaskan projek yang ditaja beliau itu membabitkan belanja antara RM1.2 juta hingga RM1.4 juta dan dijangka siap dalam tempoh empat bulan.

Katanya, projek penukaran rumput kepada jenis zeon zoysia itu terpaksa dilakukan bermula awal tahun depan kerana Stadium Nasional mempunyai komitmen untuk beberapa acara tahun ini.

“Kita perlu ada padang yang baru, yang lebih berkualiti. Kalau pada masa akan datang kita nak menjadi tuan rumah apa-apa kejohanan, boleh dikatakan agak memalukan juga dengan keadaan yang ada.

“Kalau kita tengok negara jiran kita, semua sudah tukar kepada rumput yang lebih berkualiti. Rumput ini adalah pelaburan jangkan panjang untuk stadium dan salah satu reputasi stadium, apatah lagi ia Stadium Nasional.

“Saya sudah memberi dana untuk padang, tapi lepas ini Insya-Allah kalau ada rezeki saya nak tambah sikit membantu dalam peralatan untuk menyelenggara padang di sini,” katanya pada sidang media selepas berkenan melawat padang Stadium Nasional, Bukit Jali, di sini, hari ini.

Walaupun projek penukaran padang itu akan bermula pada Januari, namun prosesnya akan bermula secepat mungkin dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) akan bekerjasama rapat dengan pihak Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengiringi Tunku Ismail ketika lawatan itu menzahirkan terima kasih atas kurniaan dana penukaran rumput padang daripada TMJ.

Beliau menganggap ia sebagai satu sumbangan yang signifikan kepada pembangunan bola sepak di negara dan tepat pada masanya.

“Tentunya saya bersama dengan pihak PSM akan bekerjasama dengan pasukan Tunku di Johor untuk pastikan padang kita dalam keadaan terbaik.

“Kita akan mulakan satu proses pembelajaran dan bertukar nota untuk memastikan akhirnya stadium ini padangnya boleh kita banggakan hingga banyak pasukan antarabangsa sudi bermain,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN