KUANTAN – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang mencatat jualan berjumlah RM7.6 juta hasil aktiviti perniagaan di 18 pasar tani sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Saiful Sadri, berkata terdapat lima pasar tani kekal dan selebihnya pasar tani mingguan di negeri ini membabitkan lebih 1,000 usahawan tempatan.
Beliau berkata, pasar tani kekal terletak di Jerantut, Bera, Jengka, Pekan dan FELDA Chini yang menyediakan bangunan termasuk pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan peniaga serta pengguna.
Katanya, pelbagai barangan keperluan harian terus dari ladang dengan tawaran harga berpatutan dijual di pasar tani termasuk makanan, sayuran, ikan, daging dan buah-buahan segar.
“Aktiviti jualan di pasar tani agak terganggu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menyebabkan pelbagai pendekatan diambil bagi memastikan operasi pasar tani dapat dilakukan secara berterusan.
“Kita jangka hasil jualan pasar tani tahun ini bertambah apabila semua pasar tani seluruh negeri kini dibuka sepenuhnya,” katanya.
Saiful berkata, untuk memeriahkan lagi suasana di pasar tani, FAMA dengan kerjasama jawatankuasa pasar tani mengadakan pelbagai program sepanjang tahun bertujuan menarik lebih ramai pengunjung.
“Menerusi PRN, usahawan dapat mempromosikan produk keluaran mereka keluar Pahang yang mungkin mendapat permintaan menggalakkan daripada masyarakat setempat.
“FAMA akan membuka jalan kepada usahawan berniaga di pasar tani di beberapa negeri jiran, dengan membantu mendapatkan tapak sementara di pasar tani sesuai.
“Selain itu, FAMA Pahang juga membuka peluang berniaga kepada usahawan luar Pahang datang berniaga di pasar tani di negeri ini. Beberapa usahawan dari Pulau Pinang dan Melaka sebelum ini sudah menyertai PRN di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pahang, di sini,” katanya.
Sumber: BERITA HARIAN