Solat Tarawih, Antara Senaman Yang Boleh Diamalkan Di Bulan Puasa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Objektif utama ibadah adalah untuk mendapat keredaan dan pahala dariNya. Selain sebagai bukti ketaatan, ia adalah salah satu cara untuk menggapai hikmah yang telah Allah sediakan.

Seperti berpuasa, secara jelasnya kita memahami bahawa ia adalah salah satu suruhan Allah dalam rukun Islam. Melakukannya adalah wajib dan jika anda meninggalkannya secara sengaja, maka ia adalah berdosa besar.

Namun, dalam masa yang sama, puasa itu sendiri sebenarnya terkandung banyak hikmah yang tersembunyi. Antaranya ialah anda dapat belajar erti syukur apabila tibanya waktu berbuka. Dalam masa yang sama, anda sendiri boleh merasai erti kesusahan dan kelaparan.

Hikmah yang paling besar dari sudut saintifiknya ialah, dengan puasa itu sendiri mampu menjaga kesihatan tubuh badan seseorang.

Menurut Dr. Lonny J. Brown (PhD) menyebut puasa itu sendiri adalah penawar. Ia boleh merangsang kepada beberapa perubahan yang melibatkan metabolisme badan. Perubahan inilah yang akan membantu ke arah pembersihan dan pembaikan tubuh badan kita.

Organ-organ yang ada dalam badan kita secara tidak langsung boleh berehat. Dengan itu, ia dapat membantu membuang segala kotoran dan toksin serta menyegarkan sel.

Banyak lagi khasiat puasa dari segi saintifik dan kesihatan yang boleh mempengaruhi tubuh badan kita. Semua orang ingin sihat. Ia adalah nikmat yang tidak ternilai yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya.

Kita lihat, dalam bulan puasa ini juga, ada di antara manusia yang masih lagi mengekalkan kecergasan badan dengan beriadah.

Mereka masih lagi berjoging, keluar bersukan dan ada juga yang membuat senaman ringan di rumah. Namun, tahukah anda sebenarnya ada riadah yang paling dekat dengan diri kita yang boleh dilakukan setiap hari. Ia bukan sahaja boleh membantu memberi kecergasan kepada anda bahkan menambah saham pahala buat bekalan anda di akhirat kelak.

Tarawih Boleh Membakar Kalori. Solat Tarawih merupakan salah satu senaman ringkas yang anda boleh lakukan. Sambil-sambil menambah pahala, anda sebenarnya selangkah ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

Menurut Kevin Zahari yang dikenali sebagai jurulatih kecergasan, beliau menyebut bahawa solat Tarawih mampu membakar kalori sehingga 200 ke 300 kcal bergantung kepada durasi dan suhu persekitaran tersebut.

Prof Madya Dr Fatimah daripada Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) berkata, aktiviti solat yang melibatkan pergerakan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang merupakan sebagai salah satu senaman ringan.

Melalui kajian yang dijalankan, Dr Fatimah menyebut bahawa mereka yang solat sebenarnya mampu mengurangkan lemak dalam badan. Apabila lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru akan meningkat serta memenuhi ruang dan ia sekali gus boleh melambatkan proses penuaan.

Pergerakan-pergerakan ini sebenarnya amat baik untuk jantung yang boleh membantu memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.

Bahkan, posisi sujud yang lama juga boleh membantu menghasilkan kadar denyutan jantung yang paling rendah.

Setiap pergerakan dalam solat mempunyai hikmahnya yang tersendiri selain mampu memberi ketenangan kepada setiap jiwa yang menunaikannya.

Buat anda yang jarang bersenam, mulakan dengan melakukan senaman ringan. Jangan terburu-buru, bimbang ia boleh memberi kesan negatif kepada anda.

Sebenarnya, banyak lagi kajian dan dapatan yang menunjukkan kelebihan solat dari sudut saintifik. Ia termasuklah dengan solat Tarawih yang kita sedang amalkan setiap malam.

Sama ada anda melakukannya sebanyak 8 mahupun 23 rakaat, ia adalah pilihan yang anda sendiri boleh tentukan.

Namun, jangan dilupa bahawa objektif utama solat itu adalah untuk mendapat keredaan dan pahala Ilahi. Barulah bonus kesihatan itu akan sampai kepada anda.

Selamat mengumpul pahala dan menjaga kesihatan dengan menunaikan ibadah solat Tarawih di bulan puasa ini.

Sumber: TZKRH.COM