Bincang Baki Hutang LPT2 Dengan MOF – Ahmad Samsuri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Kewangan pada 28 Mac ini bagi membincangkan baki hutang sebanyak RM1.43 bilion yang belum dijelaskan kerajaan Persekutuan bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perbincangan akan diadakan bersama Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Putrajaya untuk penyediaan kertas Kabinet mengenai isu hutang berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan negeri berpandangan ia adalah suatu pendahuluan yang diambil daripada kerajaan Terengganu untuk membina LPT2.

Katanya, jumlah tuntutan balik adalah sebanyak RM1.85 bilion dan kerajaan Persekutuan sudah membayar balik sebanyak RM418.5 juta dalam bentuk projek sebelum ini.

“Ia membabitkan projek seperti Jalan FT3 Awana Kijal (RM118.5 juta) dan Projek Perumahan Mampu Milik (RM 100 juta) dan pendahuluan tunai (RM 200 juta).”

“Jumlah yang masih berbaki adalah sebanyak RM1.43 billion dan baki itu sedang dirunding antara pihak kerajaan negeri dan Kementerian Kewangan.”

“Kita (kerajaan negeri) berhasrat untuk mendapatkan bayaran balik hutang ini secara pembayaran tunai bukannya melalui pembangunan projek- projek di Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, pihak kerajaan negeri sudah melakukan beberapa kali sesi perbincangan dan perundingan termasuk jawapan daripada Kementerian Kewangan pada Oktober tahun lalu.

“Walaupun pada Oktober tahun lalu, kita sudah mendapat maklum balas daripada pegawai di kementerian bahawa ia tidak dipertimbangkan sebagai hutang tetapi hasil perundingan yang terbaru, saya rasa kita ke arah untuk mencapai satu persetujuan.”

“Saya tak boleh sebut lagi sehingga saya selesai mengadakan perbincangan terakhir pada 28 Mac ini,” katanya.

Untuk rekod, jumlah sebenar yang dibiayai kerajaan Terengganu bagi pembinaan lebuh raya itu ialah sebanyak RM1.85 bilion manakala jumlah yang sudah disalurkan kepada kerajaan negeri hingga Jun 2019 berjumlah RM418.5 juta.

Sumber: BERITA HARIAN